Rasuah: Kakitangan pejabat daerah direman bantu siasatan

Lima suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada Isnin untuk direman.
Lima suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada Isnin untuk direman.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Lima individu termasuk tiga kakitangan sebuah Pejabat Daerah dan Tanah di Kedah direman selama lima hari bermula Isnin untuk membantu siasatan kes rasuah berhubung urusan pindah milik tanah pada 2019 dan 2020.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim membenarkan reman sehingga 6 Ogos ini terhadap mereka yang berusia antara 48 hingga 57 tahun itu.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Kedah, maklumat diterima menyatakan bahawa beberapa orang pegawai dan kakitangan di Pejabat Tanah dan Daerah di Kedah telah menerima rasuah daripada pemilik tanah di sebuah daerah di negeri ini.

Menurutnya, pemberian rasuah itu sebagai balasan untuk mendaftarkan 41 nama pemilik lain ke dalam hak milik tanah di daerah berkenaan tanpa melalui urusan pindah milik tanah yang sah.

Tangkapan lima individu tersebut termasuk seorang wanita dilakukan secara berasingan di Alor Setar, Pendang dan Langkawi antara jam 8.20 pagi hingga 4.20 petang pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi pemberita mengesahkan tangkapan terbabit dan pihaknya masih lagi mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel Berkaitan: