Selangor lulus 8,239 rebat pengangkutan suntikan vaksin

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menerima sebanyak 11,223 permohonan rebat pengangkutan Grabcar bagi mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri itu sehingga Ahad.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga 1 Ogos 2021, Inisiatif Rebat Pengangkutan ke PPV dengan kerjasama @GrabMY telah menerima 11,223 permohonan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 8,239 permohonan telah diluluskan dengan peruntukan RM68,400," ciapnya di laman Twitter pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan seramai 50,000 individu di Selangor bakal menerima rebat pengangkutan RM20 (pergi dan balik) bagi pengambilan vaksin terutamanya warga emas menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Dalam menjayakan agenda digitalisasi negeri ini, kerajaan Selangor melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menandatangani perjanjian kerjasama strategik bersama Grab Malaysia.

Kerjasama strategik itu bertujuan mewujudkan ekosistem untuk memudahkan rakyat Selangor memanfaatkan teknologi dan digitalisasi.

Melalui perjanjian kerjasama itu, Grab Malaysia akan terbabit secara langsung bagi menjayakan inisiatif-inisiatif di dalam agenda digitalisasi Selangor melalui perkhidmatan GrabExpress, GrabFood, GrabCar dan GrabPay.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan pendaftaran permohonan rebat pengangkutan Grabcar itu masih dibuka di http://platselangor.com.

Artikel Berkaitan: