Muhyiddin perlu lepaskan jawatan - Jazlan

Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya berikutan beberapa tindakan kerajaan yang dilihat tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya amat kesal dengan kerajaan pimpinan Muhyiddin dan mahu kepimpinan itu bertanggungjawab atas beberapa kemelut yang berlaku sejak kebelakangan ini.

"Kegagalan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan tindakan tidak menghormati yang nyata sehinggakan Seri Paduka Baginda terpaksa mengeluarkan warkah khas bagi menjelaskan lagi kronologi dan justifikasi pendiriannya kepada Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, kenyataan berbaur angkuh yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri sebelum itu yang menjawab kenyataan Istana Negara juga menyerlahkan sikap Perdana Menteri yang jelas mencabar kedudukan dan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan.

Beliau berkata, penutupan Parlimen atas alasan diserang virus Covid-19 juga hanya menyerlahkan lagi sikap kerajaan yang sanggup mempermain-mainkan dan meremehkan sistem demokrasi Berparlimen.

"Selaku Ketua Kerajaan Perikatan Nasional, beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas perkara yang dilakukan.

"UMNO Kelantan juga sepakat untuk terus mempertahankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan asas dan matlamat perjuangan UMNO yang diperuntukkan dalam Fasal 3.2 Perlembagaan parti," katanya.

Artikel Berkaitan: