Kebakaran hutan di Turki ragut lapan nyawa

Jumlah korban akibat kebakaran hutan di selatan Turki meningkat kepada lapan orang. -Gambar hiasan
Jumlah korban akibat kebakaran hutan di selatan Turki meningkat kepada lapan orang. -Gambar hiasan
A
A
A

TURKI - Jumlah korban akibat kebakaran hutan di selatan Turki meningkat kepada lapan orang, lapor Agensi Anadolu memetik pengumuman Menteri Pertanian dan Perhutanan Bekir Pakdemirli, pada Ahad.

Beliau berkata, 75 peratus kerja-kerja menilai kerosakan di wilayah Mugla sudah selesai, bagaimanapun usaha memadam kebakaran masih giat dijalankan membabitkan empat kapal terbang dan 17 helikopter.

"Sebanyak 119 dari 126 kawasan hutan yang terbakar di 32 bandar sejak Rabu berjaya dikawal operasi itu membabitkan 4,800 anggota penyelamat," tulis Pakdemirli di akaun Twitternya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Fahrettin Koca berkata, seramai 497 dari 507 penduduk di daerah Manavgat di Antalya yang dirawat sudah dibenarkan keluar hospital.

Katanya, 186 dari 203 penduduk di daerah Marmaris dan Bodrum di Mugla juga sudah dirawat.

Misi memadam kebakaran itu turut dibantu 100 anggota bomba Azerbaijan dan penduduk tempatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: