PPN hanya berjaya jika kes turun: Ahmad Amzad

Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya akan berjaya jika bilangan kes dapat diturunkan dan kadar vaksinasi tinggi serta mencapai imuniti kelompok. Gambar kecil: Ahmad Amzad
Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya akan berjaya jika bilangan kes dapat diturunkan dan kadar vaksinasi tinggi serta mencapai imuniti kelompok. Gambar kecil: Ahmad Amzad
A
A
A

SHAH ALAM - Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya akan berjaya jika bilangan kes dapat diturunkan dan kadar vaksinasi tinggi serta mencapai imuniti kelompok.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, jika semuanya berjalan baik, rakyat akan lebih gembira mulai September, Oktober dan seterusnya.

Menurutnya, kerajaan kini berusaha keras untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin bagi mencapai ke arah itu.

"Pelan Pemulihan Negara melalui strategi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan paling utama, usaha memberikan vaksinasi sangat berasas dan menunjukkan tanda boleh berjaya.

"Kerajaan tidak akan membiarkan rakyat tanpa bantuan. Untuk itu, lebih RM300 bilion dibelanjakan demi meringankan dan membantu rakyat.

"Di Labuan yang pernah berdepan situasi sangat teruk tetapi melalui kejayaan vaksinasi, kes turun mendadak dan hospital kini sudah lega. Vaksinasi yang tinggi di Sarawak juga menurunkan kes dan kesesakan di hospital dengan begitu jelas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Ahmad Amzad, vaksinasi di Lembah Klang sudah mencapai lebih 90 peratus populasi dengan individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos dan akan menerima dua dos lengkap dalam kadar yang pantas.

Jika ia seperti dirancangkan dan pematuhan SOP dipatuhi serta tiada gangguan yang meningkatkan penularan Covid-19, keadaan di Lembah Klang boleh pulih tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Kadar vaksinasi di Malaysia antara yang paling tinggi perkapita di dunia pada Ahad. Angka kes positif yang ditunjukkan setiap hari sekalipun meningkat menunjukkan peratusan kategori 4 dan 5 kurang dari 2 peratus.

"98 peratus lagi tanpa gejala atau gejala ringan yang tidak mengancam nyawa atau perlukan kemasukan ke hospital," ujarnya.

Jelasnya, situasi di Malaysia kini sama iaitu seperti di Eropah dengan peningkatan vaksinasi disusuli dengan penurunan kes yang sangat banyak dan kemasukan ke hospital menurun.

"Rakyat mereka yang marah kerana tertekan, yang dulu benci kepada kerajaan kini memuji dan bangga dengan kejayaan mereka. Pembangkang tidak lagi boleh menghasut rakyat bila itu berlaku.

"Hari ini memanglah semua marah. Saat dan peluang yang sedang cuba dipergunakan oleh pembangkang.

"Mereka takut berdepan September, Oktober dan seterusnya apabila menurun ekonomi semakin baik, rakyat semakin gembira," jelasnya.