SPRM berjaya ubah persepsi

Shamshun Baharin
Shamshun Baharin
A
A
A

LANGKAH proaktif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan program turun padang sejak tahun 2017 dilihat berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap agensi itu.

Ia terbukti apabila banyak perubahan positif diterima masyarakat selepas program sedemikian dijalankan.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, tindakan turun padang pengurusan tertinggi melalui penganjuran program-program berkenaan telah memberi keyakinan dan kepercayaan masyarakat untuk bekerjasama dengan SPRM.

Lebih menarik lagi, usaha yang dilakukan oleh SPRM itu bukan sahaja mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat setempat, malah melibatkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Apabila pendekatan baik yang dibuat mendapat kerjasama dan sokongan daripada pengurusan tertinggi SPRM dan orang ramai, ia mampu memberi impak positif kepada usaha pencegahan rasuah.

“Tanggapan masyarakat yang sebelum ini melihat SPRM hanya sinonim dengan tangkapan sahaja telah berubah.

“Kita berjaya membuka mata mereka bahawa SPRM juga menjalankan tugas-tugas pencegahan dan pendidikan kepada masyarakat,” katanya pada sidang media secara maya, baru-baru ini.

Beliau berkongsi pengalamanya sepanjang menyertai agensi penguat kuasa rasuah itu dengan Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pelbagai pendekatan baharu dibuat bagi memastikan mesej pencegahan rasuah dapat disampaikan kepada seluruh golongan masyarakat secara berterusan.

Antara program turun padang yang dilaksanakan ialah Program Walkabout Perdana sempena Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA), Program Ziarah Kasih SPRM, Kembara Jelajah Antirasuah (KEJAR), Himpunan Dua Roda (H2R) dan lain-lain lagi dengan penglibatan pengurusan tertinggi SPRM.

Shamshun Baharin menyifatkan penglibatan beliau secara langsung dalam proses awal transformasi Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM pada tahun 2009 merupakan salah satu pengalaman berharga buatnya.

Transformasi itu menjadikan agensi berkenaan berubah daripada entiti kecil menjadi entiti lebih besar, telus dan bebas.

“Saya juga terlibat secara langsung dalam pembangunan sistem teknologi maklumat (IT) yang membantu dalam operasi dan tugasan harian suruhanjaya ini.

“Pembangunan sistem ini melibatkan pemindahan sistem dalam bentuk manual ke dalam sistem elektronik. Sebagai contoh, pembangunan sistem Corruption Reporting Information System (CRIS),” ujarnya.

Malah katanya, pelancaran wajah baharu Portal Rasmi SPRM yang dilaksanakan 1 Februari lalu merupakan pendekatan berunsur teknologi yang digunakan sejak beliau menggalas jawatan yang disandang ketika ini.

Menurutnya, portal itu berfungsi sebagai jambatan penghubung perkongsian maklumat antara SPRM dengan masyarakat.

“Pelbagai maklumat berkaitan suruhanjaya ini dan juga isu berkaitan pencegahan rasuah boleh diakses oleh semua pihak.

“Misalnya, orang ramai boleh membuat aduan berkaitan rasuah di portal, bertanya permasalahan berkaitan isu rasuah, mendapatkan berita, artikel dan juga statistik berkaitan isu-isu rasuah,” jelasnya.

Selain portal, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan berkaitan rasuah melalui aplikasi MACCMOBILE di telefon pintar.

Aplikasi tersebut boleh dimuat turun melalui App Store (peranti IOS) dan Play Store (peranti android) secara percuma.

Bukan itu sahaja, SPRM juga mengambil langkah proaktif mendekati golongan e- komuniti bagi menyebar luas mesej antirasuah melalui dalam talian, bagi mengekang penu-laran pandemik Covid-19 yang juga menyebabkan program secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan dalam skala besar.

Sebagai contoh, pada 1 hingga 17 Julai 2021, SPRM menganjurkan kejohanan e-sukan SPRM FIFA 21 Challenge dengan kerjasama THQ Esport Club sebagai usaha untuk menyebarluaskan mesej antirasuah dalam kalangan belia.

Kejohanan SPRM FIFA 21 Challenge bertemakan Youth Against Corruption (Belia Menentang Rasuah) itu merupakan kesinambungan daripada program PUBG Mobile i-Challenge yang pernah dianjurkan oleh SPRM sebelum ini sebagai usaha mendekati Generasi Z atau kumpulan belia yang meminati e-sukan.

Berani buat laporan

Memerangi rasuah bukan sekadar ‘cakap-cakap’ tetapi setiap orang perlu bertindak.

Itu harapan beliau apabila ditanya mengenai usaha SPRM mengajak masyarakat membantu pencegahan rasuah di negara ini.

Beliau mahu orang ramai mempunyai keberanian untuk ‘katakan tidak’ kepada rasuah dan sanggup melaporkan perbuatan rasuah tanpa berselindung.

Sepanjang negara dilanda pandemik Covid-19, pelbagai bantuan disalurkan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat khususnya individu yang kehilangan kerja atau terjejas sumber pendapatan.

Dalam hal ini katanya, SPRM berperanan membantu negara untuk menjana ekonomi dengan cara mengawal ketirisan dana kerajaan sekaligus memastikan setiap pihak bekerjasama dengan SPRM dalam mencegah rasuah.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kes-kes lain tidak diutamakan, selain isu ketirisan, SPRM tetap akan menjalankan operasi seperti biasa bagi menyiasat kes-kes melibatkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau turut berharap setiap individu memainkan peranan penting dan mampu menjadi ‘frontliner’ dalam usaha memerangi jenayah rasuah kerana setiap maklumat yang disalurkan atau dilaporkan akan membantu SPRM menjalankan siasatan.

“Sama-samalah kita menjadi hero, bukan zero. Demi kepentingan negara semua pihak perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang berintegriti,” katanya.