X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] 'Tindakan tutup Parlimen jalan mudah untuk terus berkuasa'

Hassan Karim
A
A

PASIR GUDANG - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli kabinetnya bukan sahaja tidak menghormati Raja Berperlembagaan, menghina Parlimen dan Perlembagaan malah mengkhianati prinsip tunjang demokrasi berparlimen, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Menurutnya, tindakan Perdana Menteri menutup Parlimen pada Isnin sebagai jalan mudah untuk terus berkuasa.

"Saya selaku ahli Parlimen menuntut tanggungjawab bersama-sama seluruh jemaah menteri dan Muhyiddin mengambil jalan terhormat dan bermaruah supaya meletakkan jawatan seberapa segera.

"Anda semua yang menganggotai badan eksekutif sudah hilang keabsahan atau legitimasi untuk mentadbir Malaysia tercinta ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada Isnin ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, pemakluman itu dibuat Perdana Menteri kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Sabtu.

Susulan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi amaran keras kepada Perdana Menteri agar tidak memperalatkan agensi kerajaan termasuk ada dalam kalangan mereka akan tetap hadir di Dewan Rakyat pada Isnin.

Hassan berkata, Malaysia sebuah negara demokrasi yang mengamalkan dasar demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

"Patut dihargai dan dipandang tinggi jika Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan menghormati peranan Parlimen sebagai badan perundangan di mana segala urusan undang-undang dan kewangan negara dibentang, dibahas dan diputuskan di dalam Parlimen.

"Justeru, patut dipandang hina pula terhadap Perdana Menteri dan jemaah menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(1) dan 43(2)(a) tetapi ingkar terhadap titah Seri Paduka Baginda supaya semua Ordinan Darurat dibentangkan, dibahas dan diputuskan di Parlimen," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini ditangguhkan

ARTIKEL BERKAITAN: Tangguh sidang Parlimen atas arahan KP Kesihatan: TPM


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!