Tekad lebih garang di Paris 2024

Aksi regu lelaki negara Aaron Chia dan Wooi Yik ketika menentang regu lelaki dari Indonesia Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan. -Foto Bernama
Aksi regu lelaki negara Aaron Chia dan Wooi Yik ketika menentang regu lelaki dari Indonesia Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan. -Foto Bernama
A
A
A

BEREGU nombor satu negara Aaron-Soh Wooi Yik menanam tekad untuk tampil lebih baik dalam misi memburu emas di Sukan Olimpik Paris pada 2024 selepas memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo.

Keyakinan itu disuarakan Aaron yang menegaskan misi tersebut akan menjadi sasaran utama mereka dan akan memperkemaskan rentak dalam tempoh tiga tahun setengah ini sebelum beraksi di Paris.

“Sudah tentu selepas menang gangsa ini ia akan menjadi satu sasaran untuk kami meraih emas di Olimpik akan datang. Ia sudah tentu akan menjadi misi penting buat kami.

“Tetapi, seperti biasa kami tidak mahu sasaran itu memberi tekanan kepada kami. Kami akan melakukan persiapan dengan rapi dan pergi ke sana untuk buat yang terbaik,” katanya dalam sidang media secara maya pada Ahad.

Pada Sabtu, Aaron-Soh Wooi Yik menggembirakan rakyat Malaysia apabila menghadiahkan pingat gangsa selepas mengetepikan cabaran beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung selama 52 minit di Musashino Forest Sport Plaza.

Malah, Aaron-Wooi Yik bukan sahaja meraih gangsa, tetapi juga berjaya menewaskan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo juga dari Indonesia, 21-14, 21-17 dalam aksi suku akhir, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Wooi Yik mengakui menaruh harapan sama pada Paris 2024 selain menegaskan banyak pengalaman yang berjaya diraih pada temasya Olimpik kali ini.

“Banyak yang kita dapat belajar daripada Olimpik kali ini dengan permainan kami lebih matang dan sebagainya. Apa yang lebih penting keyakinan diri kami juga makin meningkat.

Artikel Berkaitan:

“Selepas ini banyak lagi major tournament seperti Piala Thomas dan sebagainya. Itu semua sudah tentu menjadi impian kita dan kita harus kerja keras lagi.

“Jadi, kita mahu letak sasaran untuk meraih lebih banyak kejayaan selain dapat medal di kejohanan dunia,” katanya.