X

Kindly register in order to view this article
!

Kes bunuh diri membimbangkan

A
A

TIADA siapa menjangka kesan pandemik Covid-19 boleh menyebabkan ramai orang tiada kerja, kelaparan, tiada tempat tinggal dan terpaksa bergantung kepada sumbangan makanan untuk makan.

Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) merekodkan seramai 99, 696 pekerja diberhentikan antara Januari hingga 27 November lalu akibat penularan Covid-19.

Situasi ini menyebabkan individu mudah berasa putus asa sehingga cenderung mencari jalan singkat untuk keldari masalah dengan membunuh diri.

Rakyat Malaysia kini bukan sahaja risau terhadap peningkatan kes harian Covid-19, malah berhadapan pula dengan laporan kes bunuh diri yang membimbangkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mei lalu turut mengakui, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan terdapat banyak kes bunuh diri dilaporkan, namun perkara itu tidak dihebohkan.

Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes bunuh diri pada 2019 adalah sebanyak 609 manakala tahun 2020 sebanyak 631 kes.

Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 468 kes dilaporkan. Itu yang diketahui atau mungkin lebih lagi. Keadaan ini amat membimbangkan dan wajar diberikan perhatian serius.

Fakta ini lebih menggerunkan. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, secara purata dua kes dilaporkan berlaku setiap hari sejak 2019 hingga Mei 2021!

Justeru masyarakat diminta untuk lebih prihatin kepada ahli keluarga atau orang sekeliling dalam mengenalpasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri.

Semua pihak bertanggungjawab memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini, bukan diletakkan di atas bahu kerajaan atau kementerian tertentu semata-mata.

Individu yang mengalami masalah dan tekanan supaya mendapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan dan pihak yang menyediakan nasihat seperti pejabat agama atau NGO.

Masyarakat juga diminta untuk menghormati perasaan ahli keluarga mangsa dengan tidak merekodkan video atau mengedarkan gambar di media sosial berkaitan individu yang membunuh diri.

Bunuh diri boleh dicegah, namun tindakan tular di media sosial boleh mengundang copycat suicide bagi mereka yang berisiko.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)



Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!