Ketepikan ideologi politik, beri komitmen realisasikan PPN

Semua ahli politik perlu mengetepikan ideologi politik masing-masing dan tampil membantu kerajaan serta mengutamakan agenda rakyat melalui PPN. - Foto Bernama, gambar kecil: Sara Chinnasamy
Semua ahli politik perlu mengetepikan ideologi politik masing-masing dan tampil membantu kerajaan serta mengutamakan agenda rakyat melalui PPN. - Foto Bernama, gambar kecil: Sara Chinnasamy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komitmen dan sokongan pelbagai pihak termasuk ahli politik terutama ahli Parlimen diperlukan untuk merealisasikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membolehkan Malaysia keluar daripada kemelut pandemik Covid-19.

Penganalisis politik dan media sosial, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, semua ahli politik perlu mengetepikan ideologi politik masing-masing dan tampil membantu kerajaan serta mengutamakan agenda rakyat melalui PPN.

Setakat ini, komitmen ahli Parlimen masih tidak mencapai tahap maksimum sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

“Proses vaksinasi yang sedang berlangsung masih belum meraih sokongan utuh dalam kalangan ahli politik dan parti-parti politik di mana mereka pun boleh tampil ke hadapan untuk menyokong serta menggerakkan program vaksinasi itu di kawasan masing-masing,” katanya dalam wawancara khas dalam talian dengan media pada Ahad.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, selain ahli politik, parti politik dan ketua komuniti juga perlu bekerjasama serta memberikan sokongan bagi menjayakan PPN yang merupakan pelan keluar krisis kesihatan yang melanda Malaysia sejak Mac tahun lepas.

Beliau turut mempersoal tahap kerjasama pemimpin politik, wakil rakyat dengan ketua-ketua komuniti di kawasan masing-masing dari segi pendaftaran vaksinasi dan mencadangkan penubuhan pasukan sukarelawan yang boleh membantu dalam memobilisasikan PICK.

Beliau berpendapat, kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersikap terbuka dalam menerima cadangan pihak lain yang menyaksikan ia terbukti apabila terdapat penambahbaikan berterusan setiap kali pengumuman pakej bantuan baharu kepada rakyat.

Menyentuh Belanjawan 2022 yang bakal diumumkan Oktober ini, Sara berkata, tumpuan harus diberikan kepada sektor kesihatan negara termasuk peruntukan lebih besar kepada Kementerian Kesihatan bagi menaik taraf infrastruktur perubatan, menyerap petugas kesihatan kontrak ke jawatan tetap dan pemberian bantuan kepada petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: