10 resolusi kepada Felda, bela nasib peneroka

Mustapa ketika menerima memorandum daripada Pengerusi NGO Generasi, Roslan Md Esa dan Kamal Ashaari di pejabatnya pada Sabtu.
Mustapa ketika menerima memorandum daripada Pengerusi NGO Generasi, Roslan Md Esa dan Kamal Ashaari di pejabatnya pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ketua Pemuda Pas Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin bersama Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Generasi, Roslan Md Esa dan Kamal Ashaari Al-Kerdawi pada Sabtu bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ini bertujuan bagi mengemukakan 10 resolusi bagi membela nasib dan kebajikan peneroka susulan isu perjanjian penghapusan pinjaman dan pengurusan kebun antara peneroka dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Khairil Nizam menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Sabtu, berkata, 10 resolusi yang dicadangkan NGO Generasi itu termasuk Felda perlu menawarkan harga kompetitif dan lebih baik daripada pasaran luar dan memastikan pembayaran kepada peneroka yang menjual hasil kepada Felda dibuat secara mingguan.

“Selain itu, pihak Felda juga perlu memberikan insentif kepada peneroka yang mengusahakan ladang sendiri (tidak ada hutang) dan peneroka yang pernah membayar hutang (secara berdisiplin).

“Generasi juga memohon agar penyerahan pengurusan ladang kepada Felda ditetapkan tempoh secara jelas.

“Sekiranya pihak-pihak yang terlibat di dalam perjanjian melanggar mana-mana klausa perjanjian, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Menurut beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula Felda.

Artikel Berkaitan:

Tambah Muhyiddin, menerusi inisiatif tersebut, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak 80 peratus bagi setiap peneroka.

Khairil Nizam berkata, pihak Felda juga perlu mengiktiraf hak sama rata antara peneroka yang mengurus ladang mereka sendiri selain memberikan pilihan sama ada bersetuju untuk menanda tangan perjanjian ataupun tidak.

“Kemudian memberikan penerangan secara terperinci dengan tulus dan jelas mengenai kaedah pengiraan perlupusan 80 peratus hutang-hutang peneroka.

“Bagi yang menyerahkan ladang kepada Felda, hasil yang diperoleh hendaklah dinilai sebagai hasil individu bukannya secara rawak mengikut blok dan wang sara hidup dengan melaksanakan caj perkhidmatan yang patuh syariah seperti kadar minima tidak melebihi 3 peratus.

“Di samping itu, Felda juga perlu memperkasa kaedah penerangan kepada peneroka serta melanjutkan tempoh tanda tangan kepada waktu yang lebih munasabah,” katanya lagi.