'Suatu yang paling sukar pernah saya lakukan'

Farah Ann
Farah Ann
A
A
A

RATU gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi telah mewakili negara dalam pelbagai peringkat sejak sekian lama termasuk lima Kejohanan Dunia, namun tiada yang menyamai pengalamannya menyertai Olimpik Tokyo 2020 buat pertama kalinya.

Gimnas berusia 27 tahun itu berkata, bertanding di Olimpik merupakan suatu yang paling sukar dan perkara yang beliau sendiri tidak percaya berjaya dilakukannya, dalam keseluruhan penglibatannya dalam sukan dan Olimpik Tokyo akan menjadi suatu yang akan paling beliau ingat.

“Ia suatu yang amat mencabar, secara mental dan fizikal. Bagaimanapun, ia adalah impian saya sejak berusia tiga tahun, dan bertanding di peringkat Olimpik adalah satu perasaan yang paling menakjubkan dan tidak dapat digambarkan.

“Saya terdiam sebaik selepas bergerak meninggalkan gelanggang pertandingan dengan perasaan bangga dan perasaan yang akhirnya saya berjaya lakukannya. Sebaik bangun daripada tidur sehari selepas pertandingan, saya menangis.

“Saya berasa bangga kerana berjaya melengkapkan sasaran hebat ini. Saya telah lakukan yang terbaik atas apa yang termampu di Olimpik,” katanya dalam hantaran di media sosial pada Ahad.

Pemenang tujuh pingat emas Sukan SEA itu kini sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di sebuah hotel di sini sebaik tiba dari Jepun pada Selasa (27 Julai).

Gimnas dengan senyuman yang menawan itu turut berterima kasih kepada keluarganya, jurulatihnya Nataliya Sinkova dan Ng Shu Wai, rakan-rakan, semua pihak berkepentingan dan peminat, kerana menjadikan impian Olimpiknya menjadi satu kenyataan dan sokongan terhadapnya yang tidak berbelah bahagi.

“Nataliya telah bersama saya sejak saya berusia lapan tahun. Dia memberikan galakan kepada saya, sentiasa bersama saya dan bantu saya secara fizikal dan mental dalam perjalanan saya menuju ke Olimpik. Saya amat bersyukur kerana anda menjadi jurulatih saya.

Artikel Berkaitan:

“Shu Wai telah bantu saya, latih saya dan ajarkan saya banyak perkara mengenai diri saya sebagai seorang gimnas sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Terima kasih untuk semua, saya amat bersyukur. Kepada semua jurulatih yang telah melatih saya sejak dahulu - tunjuk ajar anda semua amat bernilai sekali, terima kasih,” katanya.

Farah Ann yang membuat penampilan Olimpik pertamanya di Tokyo, tidak dapat melayakkan diri ke pusingan akhir acara all-around selepas menduduki tempat ke-68 daripada 85 atlet keseluruhan, selepas mencatatkan mata keseluruhan 48.565, di Pusat Gimnastik Ariake, Tokyo pada 25 Julai.

Beliau mengutip 11.600 mata dalam aparatus palang bertingkat, palang imbangan (11.566 mata), disiplin senam lantai (12.233 mata) dan melombol (13.166 mata). - Bernama