Perdasama Perak sasar 10 peratus ahli tembusi pasaran Jepun

Suhaida (kanan) dan Mohd Shahidi (dua kiri) menyempurnakan upacara menandatangani memorandum kerjasama Kolej Komuniti Bagan Serai dan Perdasama Perak sambil disaksikan Mohd Sabli (tengah).
A
A

BAGAN SERAI - Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Perak menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus ahlinya bakal menerokai pasaran eksport produk makanan halal ke negara Jepun menjelang tahun 2020.

Yang Dipertuanya, Suhaidah Mohd Hashim berkata, sasaran itu dianggap realistik kerana kebanyakan ahli Perdasama berjumlah lebih 700 orang keseluruhannya sudah mengeluarkan pelbagai produk makanan halal yang berkualiti dan mampu menarik minat selera rakyat negara Jepun.

Menurutnya, pihaknya tidak menafikan kebanyakan produk bumiputera ini masih gagal memenuhi spesifikasi ditetapkan kerajaan Jepun untuk dieksport ke negara itu iaitu mesti memiliki sijil perakuan halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jumlah kuantiti produk dieksport mengikut ketetapan dibuat.

"Oleh demikian, pihak kami berusaha menggalakkan kesemua pengusaha Bumiputera berpotensi untuk melengkapkan diri mereka dengan ketetapan dan keperluan syarat dikehendaki kerajaan Jepun.

"Ini kerana syer pasaran produk makanan halal dari negara ini sememangnya mendapat permintaan tinggi untuk dieksport ke negara Jepun, lebih-lebih lagi negara itu bakal menganjurkan Sukan Olimpik pada tahun 2020,"katanya pada majlis perasmian program Pesta Niaga Kolej Komuniti Bagan Serai dengan kerjasama Perdasama Perak di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri turut menyaksikan satu upacara menandatangani memorandum perjanjian kerjasama di antara Kolej Komuniti Bagan Serai dan Perdasama Perak diwakili Pengarah kolej, Mohd Shahidi Mohd Saad dan Suhaida sendiri.

Usahawan bumiputera berpotensi menerokai pasaran Jepun.
Usahawan bumiputera berpotensi menerokai pasaran Jepun.

Dalam perkembangan lain, Suhaida amat gembira dengan termeterainya perjanjian kerjasama antara Kolej Komuniti Bagan Serai dan Perdasama Perak kerana inisiatif itu membantu membina jaringan perniagaan antara institusi pendidikan, usahawan dan agensi keusahawanan.

Selain itu, Suhaida menegaskan inisiatif itu bakal memberi manfaat kepada pelajar kolej terbabit untuk menerima pendedahan berteraskan industri di samping menggalakkan aktiviti pembudayaan keusahawanan kepada mereka.

"Bagi usaha jangka masa panjang, pelajar-pelajar ini mungkin boleh menawarkan diri sebagai tenaga pekerja mahir kepada usahawan-usahawan Perdasama Perak terutama dalam bidang pembuatan dan memproses makanan.

"Kami berharap kerjasama ini dapat berterusan dan mampu menjana lebih banyak kejayaan dan penemuan hasil penyelidikan bermanfaat kepada usahawan tempatan pada masa hadapan," katanya.