X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Covid-19 di Thailand lepasi 600,000

Kes Covid-19 Thailand sudah mencecah 615,314 selepas 18,027 lagi kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam. -Foto EPA
A
A

BANGKOK - Kes Covid-19 Thailand sudah mencecah 615,314 selepas 18,027 lagi kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, 133 lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan korban 4,990 setakat ini.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan kes jangkitan baharu itu termasuk 2,514 melalui pengesanan kes aktif dan dua kes import - masing-masing satu kes membabitkan warga Australia dan Britain yang masuk ke negara ini di bawah inisiatif 'Phuket Sandbox'.

Menurut CCSA, korban terbaru itu melibatkan 78 lelaki dan 55 wanita termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang menghidap limfoma dan masing-masing dua warga China dan Myanmar.

Bangkok terus mendahului senarai dengan 2,899 kes baharu dan 61 kematian.

Memandangkan peningkatan kes kematian Covid-19, Hospital Universiti Thammasat di Bangkok mula menggunakan dua kontena khas untuk menyimpan mayat, memetik Reuters.

Sejak wabak melanda bilik mayat hospital itu menguruskan lebih 10 mayat setiap hari.

Sementara itu, Thailand akan melanjutkan sekatan di Bangkok dan beberapa wilayah lain yang berisiko untuk tempoh dua minggu lagi.

Penolong jurucakap CCSA, Dr Apisamai Srirangsan berkata, sekatan itu termasuk perintah berkurung dari jam 9 malam hingga 4 pagi. Sebelum ini, perintah berkurang dikenakan ke atas 13 wilayah kini ia akan diperluas kepada 29 wilayah bermula 3 hingga 18 Ogos.

Beliau berkata, perhimpunan melebihi lima orang tidak dibenarkan di 29 wilayah itu.

Semua pusat beli-belah, tempat urut, salun kecantikan dan tempat sukan akan ditutup manakala pasar raya dan farmasi dibuka sehingga 8 malam, sementara restoran hanya menerima pesanan untuk bawa pulang.

"Sekatan itu akan disemak semula setiap dua minggu. Namun, kemungkinan besar ia akan dilanjutkan lagi hingga akhir bulan,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Dr Apisamai berkata, strategi 'gelembung dan tutup' di tapak pembinaan, kem pekerja dan kilang akan diperketatkan lagi.

Thailand melaksanakan strategi itu pada bulan lalu bagi mengekang penularan Covid-19 di tapak pembinaan dan kilang,, namun pihak berkuasa kesihatan mendapati lebih banyak kluster muncul kerana ramai pekerja menyelinap keluar. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!