X

Kindly register in order to view this article
!

Kontak rapat terus jadi penyumbang tertinggi kes harian Sabah

Data menunjukkan ruang atau kawasan penyebaran jangkitan virus Covid-19 semakin meluas dalam komuniti. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang tertinggi jumlah kes harian positif Covid-19 di Sabah iaitu 591 kes atau 59 peratus daripada keseluruhan 1,002 kes harian pada Ahad.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, antaranya, di daerah Tawau 70 peratus daripada 171 kes baharu Covid-19 yang dikesan merupakan saringan kontak rapat, diikuti Penampang (67 peratus daripada 100 kes), Kota Kinabalu ( 63 peratus daripada 171 kes ) dan Sipitang (62 peratus daripada 90 kes).

“Data ini menunjukkan ruang atau kawasan penyebaran jangkitan virus Covid-19 semakin meluas dalam komuniti. Andaian ini diperkukuhkan lagi dengan jumlah peratusan tinggi iaitu 18.36 peratus (184 kes) kategori bergejala. Kes melibatkan kluster sekadar 13.27 peratus (133 kes) dan saringan bersasar 5.49 peratus (55 kes).

"Justeru, Kementerian Kesihatan amat menganjurkan pematuhan secara menyeluruh prosedur operasi standard bagi mengelak diri dijangkiti Covid-19. Disiplin diri adalah komponen penjagaan kesihatan amat penting selain daripada keperluan mendapatkan vaksinasi lengkap,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, ketidakpatuhan SOP turut memberi kesan kepada individu yang telah menerima suntikan vaksin untuk dijangkiti dan ini dapat dilihat apabila seramai 181 daripada jumlah kes harian hari ini adalah mereka yang sudah lengkap divaksin.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah merekodkan dua kluster baharu Covid-19 pada Ahad iaitu Kluster Tembidong Bidong membabitkan Telupid serta Beluran, dan satu lagi Kluster Jalan Patikang Ulu di Keningau.

Kluster Tembidong Bidong disyaki berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung semasa sambutan Aidiladha dengan sebanyak 88 kes positif, manakala Kluster Patikang Ulu (17 kes) melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja, dan siasatan serta kawalan kedua-dua kluster masih diteruskan, katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!