Gavin tamatkan kempen Olimpik Tokyo berkongsi tempat ke-57

Gavin Green - Foto AFP
Gavin Green - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN golf kebangsaan Gavin Green menamatkan permainan strok individu lelaki di Olimpik Tokyo 2020 hari ini dengan berkongsi kedudukan ke-57, mencatatkan empat atas par 288 keseluruhan.

Pemain berusia 27 tahun itu tidak dapat melakukan permulaan yang baik pada pusingan keempat dan pusingan akhir di Kasumigaseki Country Club di sini, apabila mencatatkan dua bogey berturut-turut pada dua lubang pertama, sebelum memperbaikinya dengan melakukan birdie pada lubang keempat.

Pada lubang-lubang selepas itu, Gavin mencatatkan tiga birdie dan satu bogey untuk menamatkan permainan hari ini dengan catatan satu atas par 72, selepas melakukan 74-72-70, pada pusingan sebelum ini, berkongsi tempat ke-57 bersama Rafael Campos dari Puerto Rico (73-72-70-72) pada saingan yang disertai 60 peserta.

Sementara itu, Xander Schauffele dari Amerika Syarikat memenangi pingat emas dengan keseluruhan 18 bawah par 266 selepas mencatatkan empat bawah par 67 pada Ahad, manakala Rory Sabbatini (Slovakia) menang perak selepas ketinggalan satu strok dengan menamatkan 17 bawah par 267.

Dalam permainan penentuan pingat gangsa selepas tujuh pemain mencatatkan 15 bawah par 268, pemain Taiwan Pan Chen-tsung menang gangsa selepas permainan empat lubang.

Di Olimpik Rio 2016, Gavin menduduki tempat ke-47 apabila golf kembali ke Olimpik selepas 112 tahun.

Dengan berakhirnya acara lelaki, pemain golf nombor satu negara Kelly Tan akan memulakan cabarannya dalam acara permainan strok individu pada Rabu. - Bernama

Artikel Berkaitan: