Alkisah kekasih awal dan akhir

A
A
A

SEORANG rakan lama beria-ia benar hendak meyakinkan saya bahawa PRK Semenyih Sabtu ini akan melihat satu lagi kekalahan Pakatan Harapan.

Katanya BN sudah menang satu di Cameron Highlands, akan dapat satu kerusi lagi di Semenyih, sebab kempen-kempen setakat ini memihak kepada Dacing.

Dan dia menambah dengan yakin, sambil mencabar saya untuk bertaruh: “Jangan terkejut parti ‘Bossku’ akan menang juga di Rantau.”

Setahu saya dia bukan puak warna biru tua, malah untuk beberapa ketika dulu dia adalah orang yang pagi-petang, siang-malam benci dan marah ‘kaw-kaw’ terhadap individu yang kini menjadi ‘Bossku’.

Dan dia tahu betul saya bukan orang mana-mana parti. Dulu, kini dan selamanya saya tidak ada warna tertentu, tetapi boleh sahaja bergaul mesra dengan hijau, biru, kuning, merah, apa-apa warna pun ok.

Maka tertanya-tanya saya, gerangan apakah – dan jin tanah mana yang telah merasuknya – menyebabkan sahabat Kelab Otai ini hendak sangat PH kecundang di Semenyih.

“Bosan!” Itu sepatah jawapannya. Bahawa dia sudah tidak yakin dengan kerajaan sekarang yang dianggapnya sebagai biawak lidah bercabang, “cakap tak serupa bikin.”

Tiba-tiba sahaja dia menjadi emo luar biasa apabila meluahkan perasaan: “Minyak naik, barang naik, buang GST tapi ikan kembung tidak turun, semua naik. Dulu janji lain, sekarang buat lain...”

Artikel Berkaitan:

Sebab itu dia hendak sangat parti ‘Bossku’ menang di Semenyih. Untuk meyakinkan saya lagi, dia menghantar menerusi WhatsApp beberapa klip video untuk membuktikan betapa pembohongnya kerajaan sekarang.

Video pertama berdurasi dua minit, ialah mengenai ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak pasti bila dan di mana, yang saya macam pernah tonton dan dengar.

Dalam ucapan pada satu majlis itu Tun M menghentam DAP dan Lim Kit Siang macam-macam – parti rasis, parti anti Islam, parti cauvinis Cina. Pendek kata parti itu tidak guna walau setengah sen pun.

Video kedua, lebih kurang seminit, ialah sedutan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang penuh dengan cacian dan kebencian terhadap Tun M. Tidak ada satu pun yang baik mengenai Tun M.

Daripada kedua-dua klip video yang ditularkan itu, sahabat otai saya bertanya: “Dulu maki-hamun ‘kaw-kaw’, tiba-tiba sekarang berpeluk dan bercium bibir macam kekasih awal dan akhir, lakonan apa ini?”

Lalu dia merumuskan, dan memaksa saya menerima apa yang diputuskan: “Itulah hipokrit namanya! Kalau dengan musuh ketat pun mereka boleh berlakon, dengan rakyat lagi mereka boleh tipu hidup-hidup!”

Maka atas alasan hipokrit dan tipu muslihat itulah dia berazam akan memenangkan ‘Bossku’ pada PRK Semenyih, pada hal dia sendiri bukanlah pengundi berdaftar di situ!

Saya tidak termakan pun dengan apa yang dirumuskan. Saya tidak pasti apakah klip-klip video lama itu sekiranya diputarkan pada kempen sekarang boleh mempengaruhi pengundi ketika memangkah nanti.

Hatta kehebatan dan kehadiran ‘Bossku’ sendiri pun bukanlah petunjuk bahawa pengundi akan memangkah parti-parti tertentu. Memang ‘Bossku’ dikerumuni untuk berselfie. Tetapi selfie lain, undi lain!

Perihal hipokrit @ lakonan @ sandiwara dalam kalangan pemain politik bukanlah luar biasa. Malah politik memang satu drama panjang yang plotnya boleh bertukar mengikut arahan dan pelakon. Kalau mengikut skrip – dan klip-klip video – dulu-dulu, banyak perkara pelik yang tidak terfikir berlaku, kini sedang berlaku di depan mata.

Contoh, satu ketika dulu UMNO dan Pas adalah seteru seumur hidup. Masing-masing tidak sebulu, saling tuduh-menuduh, penuh wasangka setiap masa.

Jelas yang satu menuduh yang satu lagi menggunakan agama untuk mengelirukan orang Islam. Yang satu lagi mengecap parti satu lagi bukan Islam, akan jadi isi neraka.

Malah, tentu semua orang masih ingat bahawa orang-orang Pas pernah satu ketika dulu mengadakan solat hajat beramai-ramai, mendoakan agar UMNO hancur. Begitu bencinya Pas terhadap UMNO!

Tetapi hari ini UMNO dan Pas saling berjabat tangan, saling berpelukan, malah sudah sampai ke tahap berkucup lidah. Bercinta sakan macam Romeo & Juliet, lebih hebat daripada Laila & Majnun.

Sama ada dalam konteks PRK Semenyih atau lain-lain PRK, hatta dalam PRU akan datang, kita kena menerima hakikat bahawa dalam politik tidak ada musuh kekal. Juga tidak ada kekasih abadi!