X

Kindly register in order to view this article
!

Israel lancar suntikan vaksin dos ketiga

Herzog (tengah) ditemani isterinya, Michal menerima suntikan dos ketiga di Pusat Perubatan Sheba di Ramat Gan pada Jumaat.
A
A

TEL AVIV - Israel mendahului negara antarabangsa apabila ia melancarkan suntikan penggalak (booster shot) kepada warga emas berusia lebih 60 tahun ketika kebanyakan negara bergelut untuk melengkapkan pemberian dos standard kepada populasi masing-masing.

Kempen tersebut dimulakan dengan pemberian suntikan dos ketiga vaksin Pfizer-BioNTech kepada Presiden Isaac Herzog, 60, di Pusat Perubatan Sheba di Ramat Gan pada Jumaat.

“Kita menjadi perintis vaksinasi suntikan penggalak bagi membolehkan kehidupan di Israel kembali normal secepat mungkin.

“Saya percaya ia boleh menjadi contoh kepada penduduk seluruh dunia untuk menunjukkan kami mengambil langkah yang diperlukan bagi melindungi antara satu sama lain,” ujarnya.

Sementara itu, ahli epidemiologi di Hebrew University, Hagai Levine menyatakan program suntikan penggalak itu dimulakan segera kerana saranan pakar dan bukan berdasarkan bukti saintifik yang kukuh memandangkan pemberian dos ketiga masih belum mendapat lampu hijau di Amerika Syarikat (AS) atau Kesatuan Eropah (EU) yang mencatatkan kadar vaksinasi yang tinggi.

Israel yang menjadi antara negara paling awal melancarkan kempen imunisasi Covid-19 membuat keputusan itu susulan lonjakan kes jangkitan harian sejak beberapa minggu lalu selepas ia melonggarkan kebanyakan sekatan pada Jun lalu.

Setakat ini, hampir 60 peratus daripada sembilan juta populasi sudah menerima dos lengkap vaksin Pfizer-BioNTech selepas program inokulasi dilancarkan pada akhir Disember lalu.

Pada Khamis lalu, Perdana Menteri, Naftali Bennett mengumumkan kempen suntikan penggalak untuk golongan berusia lebih 60 tahun tahun susulan penularan varian Delta.

Sebelum ini, firma farmaseutikal berpusat di AS, Pfizer menyatakan pemberian dos ketiga mempunya kesan peneutralan terhadap varian Delta yang lebih berbahaya dan mudah berjangkit ketika perkara tersebut masih dibahaskan kebanyakan penyelidik.

Sebagai respons terhadap kempen suntikan penggalak yang dilancarkan secara terburu-buru itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi menekankan tentang kepentingan memastikan program suntikan standard dipercepatkan.

“Kita perlu bantu setiap negara untuk memastikan kira-kira 10 populasi mereka divaksin menjelang akhir September depan,” kata jurucakapnya, Bruce Aylward.

Pada Sabtu, ribuan penduduk Israel mengadakan protes membantah sekatan baharu Covid-19 selepas kes jangkitan dan jumlah individu dimasukkan ke hospital kembali meningkat.

Rejim Tel Aviv kembali mewajibkan pemakaian pelitup muka dan pas hijau untuk memasuki ruang tertutup seperti restoran serta hotel.

“Sektor ekonomi perlu terus dibuka. Saya enggan melaksanakan lockdown penuh. Kita jalani aktiviti harian dengan pakai pelitup muka dan ambil suntikan vaksin,” kata Menteri Kesihatan, Nitzan Horowitz.

Sejak penularan varian Delta, Kementerian Kesihatan telah melaporkan sebanyak dua kali tentang penurunan kadar keberkesanan vaksin dan sedikit penurunan tahap perlindungannya terhadap penyakit teruk. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!