Budak nyenyak tidur dalam pacuan empat roda berkunci

Anggota bomba menjalankan operasi membuka pintu dan mengeluarkan mangsa yang sedang nyenyak tidur dalam pacuan empat roda Toyota Hilux. - Foto ihsan Bomba Perak
Anggota bomba menjalankan operasi membuka pintu dan mengeluarkan mangsa yang sedang nyenyak tidur dalam pacuan empat roda Toyota Hilux. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

KUALA KANGSAR - Anggota bomba menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap hampir satu jam di dalam sebuah pacuan empat roda berkunci di hadapan sebuah kedai di Jalan Daeng Selili di sini pada Ahad.

Difahamkan kanak-kanak berusia enam tahun itu ditinggalkan sendirian bermain telefon bimbit dalam kenderaan jenis Toyota Hilux ketika ibunya keluar untuk membeli barang di kedai berhampiran.

Namun ketika ibunya kembali ke kereta, dia mendapati anaknya sedang nyenyak tidur dalam keadaan kereta berkunci dengan enjin dan penghawa dingin masih hidup.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Mohd Saiful Haniff Mahmad Ayub berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.37 petang.

Anggota bomba berusaha membuka pintu kenderaan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa. - Foto ihsan Bomba Perak
Anggota bomba berusaha membuka pintu kenderaan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa. - Foto ihsan Bomba Perak

"Mangsa dalam keadaan nyenyak tidur hinggakan tidak sedar apabila diketuk pada cermin kenderaan.

"Anggota meneruskan operasi dengan mengumpil tingkap di bahagian pemandu dan membuka dengan menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Mohd Saiful Haniff berkata, anggota bomba mengambil masa tujuh minit untuk membuka pintu sebelum mengejutkan mangsa dari tidur.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa berada dalam keadaan selamat telah diserahkan kepada ibunya dan operasi ditamatkan pada jam 6.48 petang.