X

Kindly register in order to view this article
!

Mazlan Naib Canselor UMT baharu

UMT
A
A

KUALA TERENGGANU - Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang baharu, berkuat kuasa esok, 2 Ogos.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan pada Ahad berkata, Mazlan, 59, menggantikan Datuk Prof Dr Nor Aieni Mokhtar yang telah menerajui UMT selama enam tahun sejak 2015.

Mazlan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perikanan, Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Sains (Pesisir Topikal) University Of Newcastle, England.

Beliau juga memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Biologi dan Ekofisiologi Persekitaran Ikan) pada tahun 2001 daripada University of Wales, United Kingdom.

“Bersesuaian dengan portfolio beliau dalam bidang penyelidikan dan inovasi, Prof Dr Mazlan telah menggerakkan usaha mempergiatkan aktiviti penyelidikan khususnya di UMT, melalui pelbagai pencapaian di peringkat institusi.

“Antara lainnya ialah pengiktirafan AKUATROP sebagai HiCOE kedua di UMT, mengetuai projek khas LRGS (Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang) hasil kerjasama dengan beberapa buah Universiti Awam iaitu Ocean Climate Change: Potential Risk, Impact and Adaptation Towards Marine and Coastal Ecosystem Services in Malaysia dan mewujudkan dana khas penyelidikan UMT berjumlah RM3 juta,” katanya.

Mazlan turut serta menubuhkan Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan di UMT, dengan matlamat utama mengenal pasti penyelidikan yang berpotensi untuk didaftarkan sebagai harta intelek dan seterusnya dikomersialkan.

Melalui inisiatif ini, sebanyak 105 harta intelek berjaya dihasilkan yang menyumbang kepada penjanaan pendapatan UMT bagi tahun 2020.

“Beliau juga menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti ‘Ichthyological Society of Japan’, ‘Marine Biology Association of United Kingdom’, ‘Asean Fisheries Society’ dan ‘Taiwan Oceanography Society’.

“Dengan visi untuk meneraju UMT sebagai Universiti Berfokus yang cemerlang dengan bidang tujahan utama iaitu sains marin, saya percaya Prof Dr Mazlan mampu menggalas tanggungjawab ini dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UMT,” ujar Noraini. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!