X

Kindly register in order to view this article
!

Wujud unsur manipulasi dalam ulasan Proklamasi, Ordinan Darurat

Wan Rosdy Wan Ismail
A
A

KUANTAN - Beberapa ulasan berkaitan isu Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021 tidak dalam konteks sebenar sebaliknya wujud unsur berbaur manipulasi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antaranya ulasan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang mana pada hemat beliau ulasan itu sengaja dimanipulasi sehingga lebih menjurus kepada ‘political statement’ demi manfaat politik.

Menurutnya, maklum balas kepada beberapa perkara yang dibangkitkan dalam ulasan itu termasuk tentang Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai fungsi Yang di-Pertuan Agong yang perlu bertindak menurut nasihat jemaah menteri.

"Beliau mendakwa dalam keadaan sekarang menerusi beberapa titah telah dikeluarkan, baginda pula yang bertindak menasihati jemaah menteri tentang perkara yang perlu dilakukan.

"Sebenarnya, ‘nasihat’ di bawah Perkara 40 (1) adalah tidak mutlak sebaliknya perkara 40 (2) termaktub bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara baginda pada melaksanakan beberapa fungsi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Wan Rosdy berkata, antaranya, baginda boleh meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja berkenaan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja dan sebarang tindakan pada mesyuarat itu atau dalam hal lain yang disebut dalam perlembagaan.

"Berkenaan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021 itu sendiri, telah termaktub secara jelas pembatalannya hendaklah dibentang dan dibahaskan dalam Parlimen terlebih dahulu.

"Inilah yang dititahkan baginda pada perbincangan secara maya dengan wakil kerajaan pusat dan Peguam Negara pada 24 Julai 2021.

"Kedua-duanya digubal dan dimaktubkan oleh kerajaan pusat dan menjadi tanggungjawab untuk memastikan setiap yang termaktub dilaksanakan termasuk dalam hal mengemukakannya ke Parlimen untuk perbahasan dan kelulusan," katanya.

Tambah beliau, ia satu keperluan kerana tanpa dikemukakan kepada Parlimen untuk dibahas dan dilulus pembatalannya, apa juga perkara terkandung dalam Ordinan Darurat 2021 khususnya, akan kekal berkuat kuasa untuk selama enam bulan akan datang.

Vigneswaran dalam kenyataannya sebelum ini menyebut tiada keperluan bagi semua ahli Parlimen untuk membahaskan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat pada Isnin berikutan tarikh luput ordinan itu bakal berakhir pada Ahad.

Katanya, tindakan ahli Parlimen membahaskan Ordinan Darurat dianggap hanya mensia-siakan masa Parlimen dalam usaha memulakan protokol dan prosedur ke arah membangunkan kembali negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ordinan Darurat luput 1 Ogos, tiada keperluan berbahas lagi'


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!