Hishammuddin ketuai delegasi Malaysia ke AMM 54

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-54 (AMM ke-54) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bermula hari ini sehingga 7 Ogos.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan semua mesyuarat itu diadakan menerusi sidang video dan dihoskan Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021.

“AMM ke-54 kali ini menteri-menteri luar ASEAN akan membincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN; Keutamaan dan Hasil Utama AESAN termasuk strategi bersama pemulihan sosioekonomi Covid-19.

"Turut akan dibincangkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Keselamatan Politik ASEAN 2025, isu serantau dan antarabangsa termasuk persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 yang dijadualkan pada Oktober 2021," kata kenyataan itu.

Antara mesyuarat akan disertai Hishammuddin, Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN+3 Ke-22 (APT FMM Ke-22); Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ); Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-23; dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-29.

Lain-lain mesyuarat ialah Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–ROK; Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN-China; Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Jepun; Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Amerika Syarikat dan Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Australia.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia sebagai Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia 2018-2021, Hishammuddin dan rakan sejawatannya dari Australia, Senator Marise Payne akan bersama mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Australia.

"Di akhir mesyuarat, Malaysia akan menyerahkan peranan sebagai Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia kepada Laos.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia juga akan mengambil alih peranan Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN–Kanada daripada Myanmar selepas Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Kanada," kata kenyataan itu. - Bernama