UNESCO iktiraf 36 lagi tapak baharu Warisan Dunia

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

FUZHOU - Sesi ke-44 Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC) yang melabuhkan tirai di Fuzhou, wilayah Fujian pada Sabtu, menyaksikan sebanyak 36 tapak baharu dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Antaranya termasuk Quanzhou, bandar pelabuhan di timur China yang berstatus emporium dunia ketika zaman Dinasti Song dan Yuan.

Kini China mempunyai 56 tapak warisan dunia.

Sesi WHC itu turut meluluskan Perisytiharan Fuzhou yang memperincikan warisan dunia selaku khazanah budaya dan alam berperanan penting dalam menggalakkan interaksi dan saling belajar antara tamadun berbeza, di samping menyumbang kepada keamanan dunia dan pembangunan mampan.

Perisytiharan berkenaan juga menekankan tanggungjawab yang perlu digalas umat manusia untuk mengendalikan pelbagai cabaran dan melindungi warisan dunia.

Naib Menteri Pendidikan China, Tian Xuejun berkata, China bersedia bersama UNESCO dan pemeterai Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Alam Dunia memperkukuh kolaborasi antarabangsa dan meningkatkan sumbangan terhadap usaha pemeliharaan warisan dunia.

Sesi ke-45 WHC dijadual diadakan di Kazan, Rusia tahun depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: