'Perjalanan Aaron-Wooi Yik masih jauh'

Aaron-Wooi Yik bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk meraih gangsa, selepas menewaskan pasangan Indonesia yang juga pilihan kedua Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14. Gambar kecil: Flandy Limpele -Foto EPA
Aaron-Wooi Yik bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk meraih gangsa, selepas menewaskan pasangan Indonesia yang juga pilihan kedua Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14. Gambar kecil: Flandy Limpele -Foto EPA
A
A
A

PERJALANAN pasangan beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, masih lagi panjang dalam arena badminton walaupun merangkul gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo pada Sabtu.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele enggan mendabik dada dengan kejayaan anak buahnya, kerana banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Aaron-Wooi Yik masih muda dan mempunyai prospek cerah, namun mereka perlu lakukan lebih banyak latihan keras, tingkatkan gaya permainan di gelanggang termasuk kekuatan, kelajuan dan ketahanan kerana tiga aspek berkenaan, dilihat kurang berbanding pemain beregu Taiwan dan China di Olimpik Tokyo,” katanya pada sidang media dalam talian pada Ahad.

Aaron-Wooi Yik bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk meraih gangsa, selepas menewaskan pasangan Indonesia yang juga pilihan kedua Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan mendebarkan yang berlangsung hampir sejam, semalam.

Mengulas mengenai aksi terbabit, jurulatih berusia 47 tahun itu yang bangga dengan kemenangan Aaron-Wooi Yik itu percaya, anak buahnya mampu membawa pulang pingat selepas berjaya mempamerkan kebangkitan dalam set kedua, sebelum terus mengungguli set ketiga untuk mengecewakan pasangan Indonesia itu.

Flandy yang pernah memenangi gangsa bersama pasangannya Eng Hian, ketika mewakili Indonesia pada Athens 2004 optimistik bahawa, gandingan muda negara itu mampu mencatat kejayaan manis di Jepun selepas melalui persiapan dan latihan, yang disifatkannya sebagai luar biasa.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mendoakan agar mencapai kejayaan lebih besar di Paris 2024, berikutan kejayaan di Olimpik Tokyo.

Beliau yang beraksi di tiga Olimpik (Sydney 2000, Athens 2004 dan Beijing 2008) mengakui, ada masanya yang beliau kuatir akan pulang dengan tangan kosong, namun kini boleh menarik nafas lega apabila Aaron-Wooi Yik berjaya memenuhi sasaran BAM untuk bawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat di Olimpik Tokyo.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama Choong Han berharap Malaysia akan mempunyai dua wakil terutamanya dalam perseorangan lelaki dan beregu di Paris 2024 berbanding hanya satu wakil dalam setiap kategori di Tokyo.

“Kami tentunya akan bekerja keras dan menetapkan semula sasaran kami apabila membuat perancangan untuk tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau juga percaya para permain yang diketuai juara All England 2021, Lee Zii Jia telahpun mencapai tahap kematangan mereka dan mereka mempunyai peluang lebih baik menakluki dunia suatu hari nanti dan akirnya memenangi pingat emas Olimpik suatu hari nanti. - Bernama