Suhakam gesa polis henti siasat peserta perhimpunan baju hitam

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa pihak polis agar menghentikan siasatan dan dakwaan kepada sesiapa yang menyertai Perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' atau baju hitam yang dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Rakyat di Kuala Lumpur pada Sabtu hanya kerana melaksanakan hak asasi itu semata-mata.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, sebaliknya mengesyorkan agar pihak berkuasa menekankan pembangunan dan pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan perhimpunan awam dijalankan dengan mengurangkan risiko Covid-19.

"Pihak polis juga dilihat membantu memudah cara perhimpunan melalui rundingan dengan penganjur bagi memastikan perhimpunan dapat dijalankan walaupun pada saat-saat akhir, tidak membenarkan peserta berhimpun di Dataran Merdeka seperti yang dirancang.

"Kami percaya langkah-langkah ini boleh ditambah baik pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam kenyataan sama, Suhakam turut memuji pematuhan penganjur dan peserta dalam usaha untuk mematuhi SOP pandemik yang telah ditetapkan.

Selepas pemantauan pihaknya, mengesahkan perhimpunan tersebut diadakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Suhakam mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam memastikan hak ini dilaksanakan secara bertanggungjawab oleh semua pihak, dan mengulangi seruan kami agar semua pihak bekerjasama untuk memenuhi hak kepada perhimpunan secara aman.

"Selain itu, pada masa yang sama mematuhi SOP kesihatan awam semasa bagi mengawal pandemik Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: