NMB rai pencapaian cemerlang sepanjang 10 tahun

Gambar dari kiri: Datuk Dr Mohamad Zawawi Ismail, Dr Rezal Khairi Ahmad
Gambar dari kiri: Datuk Dr Mohamad Zawawi Ismail, Dr Rezal Khairi Ahmad
A
A
A

NANOMALAYSIA Berhad (NMB) meraikan pencapaian cemerlang sepanjang 10 tahun dalam mengkomersialkan nanoteknologi menerusi model pembangunan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menerusi pencapaian 10 tahun memacu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berasaskan nanoteknologi, syarikat berkenaan dilantik sebagai agensi pelaksana bagi segmen utama Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

Terdapat dua program yang bakal dikendalikan NMB, antaranya program REVOLUTIoNT yang bertujuan mengkomersialkan penghasilan harta intelek, produk dan penyelesaian sistem yang kompleks serta bernilai.

Program Hydrogen EcoNanoMy pula akan menggunakan teknologi hidrogen yang dihasilkan di tapak NanoMalaysia bagi mewujudkan Ekosistem Industri Hidrogen Negara untuk sektor tenaga.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, peranan NMB dalam Dasar 4IR Negara adalah penting dalam memacu Malaysia ke arah mencapai aspirasi Dasar Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 iaitu sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

“4IR yang menjadikan nanoteknologi sebagai salah satu tonggak teknologi utama dijangka akan meningkatkan produktiviti semua sektor sebanyak 30 peratus pada tahun 2030.

“Selain itu, ia juga akan menyumbang kepada peningkatan bilangan pekerja mahir negara, malah pengeluaran produk nilai tambah yang lebih tinggi,” katanya ketika merasmikan ulang tahun ke-10 NMB secara maya pada Ahad.

Sementara itu, Pengerusi NMB, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Zawawi Ismail berkata, pasukan yang menyokong NMB telah memainkan peranan penting dalam memacu agensi itu sepanjang satu dekad lalu sehingga berlaku perubahan yang disruptif dalam sektor PKS dan juga industri.

Artikel Berkaitan:

“Antara projek utama yang dilaksanakan termasuklah skuter elektrik yang boleh dikawal oleh aplikasi mudah alih. Skuter ini dilengkapi dengan NanoSensors yang membolehkan pengawasan dan pemeriksaan kuasa bateri secara jarak jauh.

“Rekaan ini juga merupakan contoh terbaik penyatuan 4IR dan Mobiliti Rendah Karbon. Kami juga berjaya membangunkan kain anti bakteria dengan lapisan nanotech untuk kanak-kanak,” ujarnya.

Hasil daripada pencapaian itu juga, beliau berkata, pihaknya turut meramalkan peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung sebanyak 2,373 dan 11,865 serta potensi sumbangan terhadap Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM3.6 bilion dan RM18 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr Rezal Khairi Ahmad pula berkata, sebagai menyokong aspirasi MOSTI ke arah membina negara berteknologi tinggi, pihaknya sedang meletakkan Malaysia sebagai pengeluar teknologi bagi penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan teknologi komponen kenderaan elektronik yang dibangunkan secara tempatan.

“Ini termasuklah inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga Nasional, melaksanakan program Hydrogen EcoNanoMY dan membangunkan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen.

“Usaha ini juga disokong oleh projek Hydrogen-Paired Electric Racecar (HyPER) kami yang menampilkan sistem storan tenaga ion ultra kapasitor litium grafin sel bahan api reaktor hidrogen pemasangan hibrid (H2SS).

“Kami turut berhasrat untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 10,500 pekerjaan bernilai tinggi secara langsung dengan kesan limpahan sebanyak 52,500 pekerjaan untuk merangsang ekonomi dan menjana PNK tambahan sebanyak RM 1.7 bilion menjelang tahun 2030,” katanya.