40 peratus penduduk Sabah sudah terima vaksin dos pertama

Sekitar 18 hingga 19 peratus penduduk telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19.- Foto Bernama
Sekitar 18 hingga 19 peratus penduduk telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19.- Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Hampir 40 peratus penduduk Sabah telah menerima suntikan vaksin dos pertama sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri dimulakan pada Mac lalu.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, Sabah turut merekodkan sekitar 18 hingga 19 peratus penduduknya telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 melalui program imunisasi itu, setakat ini.

“Kita kena bekerja lebih keras dari sekarang (untuk mencapai sasaran imuniti kelompok). Kita akan menggunakan pelbagai kaedah dan menggembleng semua tenaga Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 negeri dan daerah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Sulaman di sini pada Ahad.

Setakat Sabtu (31 Julai), seramai 1.2 juta daripada 2.7 juta penduduk dewasa di Sabah telah menerima suntikan vaksin, dengan seramai 819,705 daripadanya adalah penerima dos pertama, manakala selebihnya iaitu 392,252 telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata, pihaknya optimis Sabah mampu mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini susulan perkembangan positif jumlah penerima vaksin yang meningkat setiap hari.

Justeru, beliau berkata, sasaran penerima vaksin di Sabah akan ditingkatkan kepada 45,000 orang sehari memandangkan jumlah dos suntikan harian ketika ini telah melebih sasaran 30,000 dos sehari.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada bekalan vaksin dan juga sumber tenaga kerja,” katanya menambah proses pembekalan vaksin di Sabah setakat ini mengikut jadual ditetapkan.

Bagi memastikan semua penduduk menerima vaksin, Dr Rose Nani berkata, pihaknya juga akan terus memperkasakan Program Jangkauan Komuniti Vaksinasi Covid-19 bagi meningkatkan jumlah pendaftaran penerima vaksin di Sabah terutama di luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai liputan internet.

Artikel Berkaitan:

"Setakat Sabtu, seramai 1.16 juta atau 42.2 peratus rakyat Sabah telah mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi pelbagai platform pendaftaran disediakan.

"Pendaftaran maklumat penerima vaksin termasuk yang datang secara ‘walk-in’ itu perlu untuk pemantauan keadaan kesihatan termasuk sekiranya ada kesan sampingan selepas divaksin," katanya. - Bernama