Tangguh Dewan Rakyat tepat, elak kluster Parlimen: Annuar

Annuar (tengah) beramah mesra dengan warga emas yang menunggu giliran semasa Program Vaksinasi Peringkat Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan (YKK), Kota Bharu pada Ahad.
Annuar (tengah) beramah mesra dengan warga emas yang menunggu giliran semasa Program Vaksinasi Peringkat Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan (YKK), Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan penangguhan sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin sehingga ke satu tarikh lain disifatkan tepat bagi mengelakkan tercetusnya kluster Parlimen.

Annuar berkata, ia susulan 10 kes positif Covid-19 membabitkan pegawai pengiring ahli Parlimen telah dikesan hasil ujian saringan yang dilakukan pada Khamis lalu.

"Langkah itu mampu mengelak wujudnya kluster Parlimen dibawa pulang ke kawasan masing-masing. Hal ini kerana ahli Parlimen datang dari seluruh negara dan mereka akan pulang ke kawasan masing-masing tanpa perlu kuarantin.

"Maka, kluster Parlimen mungkin menyumbang kepada kes merebak yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau Program Vaksinasi Peringkat Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan (YKK) di sini pada Ahad.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya bersambung pada Isnin 2 Ogos ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini ditangguhkan

Tangguh sidang Parlimen atas arahan KP Kesihatan: TPM

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, larangan itu membabitkan undang-undang dan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu wajib dipatuhi kerana soal nyawa tidak boleh diambil ringan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sudah memberi kelonggaran iaitu pilihan pertama tiada sidang langsung dan pilihan kedua bersidang tempoh pendek.

Sementara itu, mengulas mengenai suntikan vaksin di Parlimen Ketereh, Annuar berkata, Pusat Khidmat Parlimen Ketereh menjangkakan seramai 10,000 penduduk daerah itu menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena program tersebut yang berlangsung selama lapan hari bermula pada Ahad.

Beliau berkata, program tersebut menyasarkan sebanyak 1,500 suntikan vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kepada penerima sehari.