Benarkah pesakit Covid yang meninggal dunia mati syahid dunia, akhirat?

Petugas pengurusan jenazah melakukan kerja-kerja pengebumian jenazah pesakit Covid-19.
 -Foto Bernama
Petugas pengurusan jenazah melakukan kerja-kerja pengebumian jenazah pesakit Covid-19.
 -Foto Bernama
A
A
A

KEMATIAN merupakan perjalan terakhir setiap insan yang dilahirkan di atas muka bumi ini tanpa berkecuali. Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan kematian, kerana kematian merupakan sunatullah yang sudah ditetapkan garis waktunya untuk semua makhluknya. Kematian juga merupakan peralihan untuk menuju alam abadi dan mendapat tempat yang selayaknya di sisi ALLAH sama ada syurga atau neraka.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8 yang bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.

Setiap orang yang beriman inginkan kesudahan hayatnya dengan cara yang diredhai ALLAH SWT dan tertulis di sisinya sebagai husnul-khatimah. Namun, bukanlah suatu perkara mudah mendapatkan perkara tersebut kecuali dengan izin ALLAH dan rahmatnya ke atas makhluk serta iltizam seorang hamba berada di atas jalan istiqamah melaksanakan amal soleh dan nahi munkar.

Penghormatan tertinggi dari ALLAH ke atas hambanya boleh diukur dengan cara kematian yang berlaku.

Justeru mati syahid dengan tiga kategorinya secara berurutan merupakan suatu anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Tidak syak lagi golongan mendapat tempat yang terbaik di sisi ALLAH berdasarkan pandangan mata kasar manusia yang menilai kematian tersebut berlaku dan kesudahannya milik mutlak ALLAH untuk menentukannya.

Tiga kategori syahid yang dikemukakan oleh ulamak berpandukan kepada hadis-hadis Nabi SAW. Pertama: Syahid dunia & akhirat. Syahid kategori ini hanya bagi mereka yang terkorban dalam medan peperangan fisabilillah dengan niat ikhlas meninggikan syiar agama Islam dan mengharapkan keredhaan ALLAH.

Dalam kategori ini pengurusan jenazah mereka terikat dengan hukum-hakam khusus di dunia iaitu tidak dimandikan, dikebumikan dengan pakaian yang dipakai ketika peperangan dan tidak disolatkan menurut semua mazhab kecuali Hanafi. Bagi mereka sudah pastinya ganjaran tertinggi di akhirat menanti.

Kedua: Syahid dunia bagi mereka yang pada zahirnya terbunuh ketika dalam peperangan tetapi sebaliknya diselubungi dengan nawaitu yang tidak jujur atau semacam dipaksa, ini boleh merosakkan pahala jihad. Dalam kategori ini pengurusan jenazah mereka terikat dengan hukum-hakam khusus di dunia seperti kategori pertama juga, namun tiada sebarang ganjaran di akhirat kelak. Ketiga: Syahid akhirat bagi golongan tertentu yang dinamakan oleh Rasulullah SAW secara khusus selain dari peperangan fisabilillah, seperti mati terbakar, wabak (seperti Covid-19), lemas, ditimpa runtuhan dan sebagainya. Dalam kategori ini pengurusan jenazah mereka seperti mana biasa dimandikan, dikafankan dan disolatkan kemudian dikebumikan.

Buat mereka juga ganjaran pahala tersedia di sisi ALLAH pada hari kiamat kelak.

Artikel Berkaitan:

Pesakit Covid-19 yang menjadi korban akibat pandemik ini tergolong dalam kategori syahid akhirat seperti mana sabda Nabi SAW daripada Anas bin Malik r.a yang bermaksud: “Wabak taun itu adalah penyebab mati syahid bagi setiap muslim”[riwayat al-Bukhari dan Muslim]. Pengertian wabak seperti dalam hadis tadi bersifat umum, apa sahaja jangkitan penyakit yang menular kepada umum sehingga mengakibatkan kematian dalam skala luar biasa maka yang menjadi korbannya sekiranya beragama Islam mereka adalah syahid akhirat. Namun demikian, berlaku kekeliruan dalam masyarakat apabila pengurusan jenazah Covid tidak dimandikan pada ketika ini, sehingga ada yang beranggapan golongan ini mati syahid dunia dan akhirat.

Justeru kekeliruan ini perlu dijawab secara akademik bukan dengan kefahaman secara tidak ilmiah. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham berdasarkan hasil bedah siasat satu mayat oleh Institut Penyelidikan Perubatan, IMR, mendapati terdapat virus Covid-19 dikesan pada permukaan badan mayat, melalui analisis Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) dan bendalir yang keluar daripada jenazah covid-19 mempunyai potensi kebolehjangkitan.

Oleh kerana itu, bagi mengurangkan risiko terhadap petugas daripada terkena air atau tersentuh kulit yang mempunyai risiko penyebaran virus kepada pihak pengurusan jenazah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bersetuju untuk menukarkan prosedur asal mandi jenazah, kepada tayammum sahaja.

Justeru jenazah pesakit Covid-19 tidak dimandikan, kerana boleh memudaratkan pihak lain bukan dikecualikan dengan nas daripada mana-mana hadis dan seumpamanya. Menurut ketetapan Fatwa al-Azhar Mesir, jika keadaan membolehkan untuk dimandikan jenazah Covid-19 hukumnya adalah wajib sekadar melalukan air ke atas jenazah tanpa digosok.

Namun jika keadaan tidak membenarkan jenazah untuk berbuat demikian, jenazah boleh dikebumikan tanpa dimandi dan ditayammumkan kerana menjaga nyawa manusia yang masih hidup adalah lebih utama. Dalam hal ini jelas pengecualian dari memandikan jenazah dalam peperangan fisabilillah merupakan anugerah khusus dari Allah untuk mereka yang gugur dalam medan pertempuran meninggikan syiar agama Islam dan mengharapkan keredhaan ALLAH sahaja.

Sabda Nabi SAW daripada hadis Abdullah bin Abbas r.a yang bermaksud: “Kebumikanlah jenazah mereka dengan darah-darah mereka” [riwayat al-Bukhari]. Dalam hadis lain riwayat Jabir bin Abdillah r.a Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu mandikan jenazah mereka, kerana setiap luka atau darah, akan mengeluarkan bau harum kasturi pada hari kiamat nanti.” [riwayat al-Bukhari].

Urusan melibatkan persoalan hukum-hakam merupakan persoalan amanah kepada ilmu yang membawa kesan besar kepada masyarakat, apatah lagi sekiranya yang mengutarakannya tokoh-tokoh ilmuan tertentu. Oleh itu, saya mengajak diri saya dan semua agar kita mengambil sikap tabayyun atau menyemak asas kebenarannya terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada orang ramai. Dalam sebuah hadis daripada Tamim bin Aus r.a Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Agama itu adalah nasihat” [riwayat Muslim]. Dalam hadis ini Nabi berpesan agar umat Islam perlu bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkait dengan isu yang berbangkit agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah.

* Datuk Mohamad Din Yusof ialah penulis buku Covid-19 dan pengasas UTAS Travel