X

Kindly register in order to view this article
!

TNB sumbang dua kontena sejuk beku kepada dua hospital di Kedah

Mahdzir (dua kanan) menyerahkan sumbangan TNB kepada HSB Alor Setar dalam satu majlis ringkas pada Ahad.- Foto ihsan TNB
A
A

ALOR SETAR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil menghulurkan sumbangan dua kontena sejuk beku kepada dua buah hospital di Kedah bagi menempatkan mayat mangsa Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sumbangan itu diharapkan dapat menyelesaikan masalah kritikal yang dihadapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Menurutnya, TNB mengambil maklum keperluan mendesak kedua-dua buah hospital tersebut di samping menghilangkan kerisauan orang ramai di negeri itu berkaitan pengurusan mayat mangsa Covid-19.

"TNB sentiasa peka dengan situasi semasa pandemik Covid-19 ini dan kita ambil maklum akan keperluan hospital tersebut.

"Jadi saya berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi TNB untuk kami ambil tindakan segera dalam masa dua hari sahaja untuk putuskan penyerahan sumbangan kontena sejuk beku ini dan saya berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din yang banyak membantu", katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Majlis ringkas sumbangan itu disampaikan oleh Mahdzir kepada Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Zaiton Udin.

Turut hadir Pengurus Besar Negeri, Utara, Ir. Azmi Mohd Yusof dan Pengurus Negeri Utara, Ku Abdul Razak Ku Ismail.

Sumbangan di Hospital Sultan Abdul Halim pula disampaikan oleh Pegawai Khas Pengerusi TNB, Datuk Shahanim Mohd Yusuf dan Muhamad Nur Aizat Noor Azam kepada Pengarahnya, Dr. Azlina Muhamad Radzi.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, TNB juga menyumbangkan dua unit Alat Penafas Berpemekatan Udara (PAPR) yang amat diperlukan di Hospital Sultanah Bahiyah.

Menurutnya, peralatan khas tersebut digunakan oleh doktor dalam pembedahan kes-kes berkaitan Covid-19.

"Keseluruhan sumbangan dua kontena dan dua peralatan tersebut adalah bernilai RM165,000," katanya lagi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!