Polis siasat majlis perkahwinan tular langgar SOP

Polis menyiasat satu majlis perkahwinan yang tular di media sosial dipercayai diadakan di sebuah bangunan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.
Polis menyiasat satu majlis perkahwinan yang tular di media sosial dipercayai diadakan di sebuah bangunan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil individu terlibat dalam majlis perkahwinan yang berlangsung di sebuah bangunan di Jalan Ampang pada 27 Julai lalu untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan gambar majlis perkahwinan yang tular di aplikasi Instagram kira-kira jam 1.59 petang pada 31 Julai lalu.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati gambar majlis perkahwinan yang berlangsung pada 27 Julai lalu terdapat individu yang berkumpul tanpa sebarang penjarakan sosial.

"Siasatan lanjut mendapati perkahwinan tersebut telah berlangsung di sebuah bangunan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur di mana penganjur telah menyewa dewan tersebut daripada sebuah syarikat pengurus perkahwinan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Ashari berkata, seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang menyewa dan menguruskan tempat tersebut daripada pemilik bangunan telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju pada Sabtu.

“Kesemua individu lain yang telah terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Tambah beliau, polis memulakan siasatan di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Siasatan pihak polis menjurus kepada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Ordinan Darurat (Peraturan Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 Langkah langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan kerana tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai supaya mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi Asisten Superintenden Mohd Mirza Che Ab Wahi (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 012-9457503, Inspektor Salina Zolkopli (Pegawai Penyiasat) di talian 011-1234405 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.