Wanita rugi RM11,700 ditipu 'kekasih’ dari Eropah Timur

Seorang wanita kerugian RM11,700 selepas ditipu seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook. Gambar kecil: Ahmad Azizul
Seorang wanita kerugian RM11,700 selepas ditipu seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook. Gambar kecil: Ahmad Azizul
A
A
A

KOTA BHARU - Keterujaan seorang wanita ingin bertemu kekasih hati dari Eropah Timur menjerat dirinya apabila kerugian RM11,700 selepas memasukkan wang itu ke dalam satu akaun bank kononnya bagi menampung kos kuarantin dan rawatan lelaki berkenaan yang mengaku positif Covid-19.

Mangsa berusia lewat 30-an berkenalan dengan suspek melalui media sosial Facebook pada Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada wanita tempatan berstatus bujang dan tidak bekerja itu pada Rabu lalu.

Menurut beliau, selepas lebih sebulan berkenalan, suspek menyatakan ingin mengenali mangsa dengan lebih rapat dan akan ke Malaysia untuk berjumpa mangsa.

“Pada 22 Julai lalu, mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek menyatakan dia tiba di Malaysia tetapi ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk proses kuarantin.

“Pada keesokan harinya, mangsa dihubungi seorang wanita yang menyamar sebagai kakitangan kerajaan meminta mangsa membuat bayaran kos kuarantin kenalan alam mayanya itu.

“Mangsa membayar RM5,200 ke satu akaun bank tempatan milik individu seorang wanita,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmad Azizul berkata, pada 26 Julai lalu mangsa membuat bayaran RM2,000 ke akaun bank yang sama sebagai bayaran deposit rawatan hospital setelah dimaklumkan bahawa kenalannya itu didapati positif Covid-19 dan sekali lagi bayaran berjumlah RM4,500 pada hari berikutnya sebagai bayaran bil rawatan hospital.

Artikel Berkaitan:

“Suspek masih lagi menghubunginya meminta wang atas pelbagai alasan lain.

“Mangsa membuat laporan polis setelah mengesyaki ditipu dengan jumlah kerugian RM11,700 daripada pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Azizul Mohamed menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan permintaan atau arahan yang diberikan oleh individu-individu yang tidak dikenali.

“Dapatkan nasihat daripada pihak berkuasa sekiranya mendapat panggilan yang meragukan terutama yang meminta bayaran atau maklumat kewangan atau akaun bank.

“Talian khusus untuk pertanyaan kes-kes penipuan dalam talian iaitu CCID Scam Response Centre boleh dihubungi di talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599,” katanya.