X

Kindly register in order to view this article
!

17 ditahan sertai parti liar di kondominium

Polis menahan 17 individu terlibat dalam parti liar di Lumut. - Foto ihsan pembaca
A
A

LUMUT - Seramai 17 individu termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan selepas terbabit dalam parti liar di sebuah kondominium di sini pada Ahad.

Serbuan dijalankan pada jam 1.15 pagi oleh pasukan 'Task Force' Op Covid dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung setelah menerima maklumat daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, seramai sembilan lelaki dan lapan wanita berusia 19 hingga 48 tahun itu sedang berhibur di kediaman yang disewa mereka.

"Siasatan mendapati seorang wanita bertindak sebagai penganjur telah menyewa kediaman itu dengan harga RM350 semalam dan menjemput rakan-rakannya menerusi pesanan aplikasi WhatsApp.

"Kesemua mereka kemudiannya telah ditahan dan dibawa balik ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut," katanya di sini.

Menurutnya, kompaun RM4,000 dikeluarkan ke atas 16 individu kerana menganjurkan aktiviti melibatkan kehadiran ramai.

"Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati tiga lelaki dan dua wanita positif dadah jenis methamphetamin dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Wanita warga Indonesia berusia 35 tahun itu pula ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!