Sinar Harian berbeza, sedia platform bagi semua pihak bersuara

Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dalam Wawancara Khas sempena ulang tahun penubuhan Sinar Harian yang ke-15 tahun pada Sabtu.
Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dalam Wawancara Khas sempena ulang tahun penubuhan Sinar Harian yang ke-15 tahun pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Harian berbeza dengan media lain terutamanya berani dalam menyediakan platform bagi kedua-dua belah pihak parti pembangkang dan kerajaan menyuarakan pandangan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, ramai yang tidak boleh terima apabila Sinar Harian diterbitkan pada awalnya.

Menurut beliau, ia berikutan semua media akhbar kecuali Sinar Harian dimiliki dan dikawal oleh parti politik pada 15 tahun lepas.

“Sesetengah orang merasakan kenapa Sinar Harian macam ini. Bagi orang yang menyokong UMNO merasakan Sinar Harian jahat.

“Bagi orang-orang tidak menyokong mana-mana parti merasakan Sinar Harian memberikan ruang kepada kedua-dua belah pihak, pembangkang dan juga parti pemerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas sempena ulang tahun penubuhan Sinar Harian yang ke-15 tahun pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, ia merupakan halangan bagi Sinar Harian pada ketika itu kerana fikiran masyarakat belum terbuka untuk menerima pandangan berbeza tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

“Cabaran terbesar masa itu, fikiran orang ramai belum terbuka kerana berpuluh tahun mereka disogok dengan satu aliran pemikiran, maknanya akhbar yang dimiliki oleh UMNO dan apa sahaja mereka buat, ahlinya anggap sebagai betul.

Artikel Berkaitan:

“Sama juga akhbar yang dimiliki oleh parti lain seperti Harakah dimiliki oleh Pas, Roketkini dimiliki oleh DAP, The Star dimiliki oleh MCA.

“Itu sebenarnya cabaran yang kita hadapi tapi sebab kita dah ada pengalaman terbit Watan dan Eksklusif, kita sebagai penerbit tidak terikat dengan mana-mana pihak,” ujarnya.