X

Kindly register in order to view this article
!

Pintu Istana Kelantan dibuka untuk rakyat terima vaksin

Sebahagian para penerima hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Istana Balai Besar pada Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan anjuran Pejabat Sultan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan yang dilaksanakan selama lima hari bermula hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V memperkenan supaya Istana Balai Besar di sini dibuka bertujuan memberi kemudahan kepada rakyat jelata menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata, istana itu satu-satunya di Kelantan dibuka bagi perlaksanaan program pemberian vaksin memasuki dua fasa selepas fasa pertama sejumlah 350 individu menerima vaksin Sinovac pada Jun lalu.

Menurut beliau, fasa kedua pula dilaksanakan selama lima hari bermula pada Ahad dengan 2,000 individu menerima suntikan vaksin jenis Pfizer secara berperingkat.

“Sultan Muhammad V menitahkan kepada rakyat Kelantan di dalam dan di luar negeri ini supaya mengambil serius terhadap peningkatan jangkitan Covid-19 dan memainkan peranan melindungi diri serta keluarga.

“Baginda juga memuji rakyat Kelantan yang mendaftar untuk divaksinkan,” katanya kepada pemberita di Istana Balai Besar di sini pada Ahad.

Penglola Istana Diraja Kelantan, Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar (kiri) bertanya khabar penerima vaksin Covid-19 di Istana Balai Besar di Kota Bharu pada Ahad.
Penglola Istana Diraja Kelantan, Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar (kiri) bertanya khabar penerima vaksin Covid-19 di Istana Balai Besar di Kota Bharu pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan anjuran Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar di sini pada Ahad.

Tengku Azmi berkata, pihak Istana juga dalam perancangan bagi menganjurkan program yang akan diadakan di Istana Balai Besar itu.

“Antaranya penyerahan bakul makanan kurniaan baginda kepada penduduk negeri Kelantan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang akan dilakukan selepas selesai program vaksinasi ini.

“Program vaksinasi ini juga akan diteruskan bergantung kepada keperluan dan bekalan vaksin daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata, Sultan Kelantan juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh barisan hadapan yang terlibat terutamanya kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka tidak mengenal penat lelah berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat dan bertungkus-lumus dalam memastikan kes yang mencanak naik ini dapat dilandaikan secepat mungkin,” katanya.

Penerima vaksin, Mohd Zaidi Deraman, 37, (kiri) menerima suntikan vaksin di Istana Balai Besar, Kota Bharu selepas mendaftar dengan MySejahtera sejak awal Jun lalu.
Penerima vaksin, Mohd Zaidi Deraman, 37, (kiri) menerima suntikan vaksin di Istana Balai Besar, Kota Bharu selepas mendaftar dengan MySejahtera sejak awal Jun lalu.

Pada masa sama, Tengku Azmi turut memaklumkan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra amat prihatin terhadap masalah serta kekangan yang dihadapi oleh pihak KKM dalam memastikan kelancaran proses pemberian vaksin Covid-19.

“Pada 23 Jun lalu bertempat di Istana Balai Besar, Tengku Mahkota Kelantan mengurniakan sumbangan lima buah peti ‘Top Loading’ bagi kemudahan penyimpanan bekalan vaksin Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!