Pas bagi laluan Tok Mat bertanding

Rafie
Rafie
A
A
A

SEREMBAN - Pas Negeri Sembilan sedia memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding pada PRK DUN Rantau.

Pemangku Pesuruhjaya PAS negeri, Rafiei Mustapha berkata, parti itu akan memberi sokongan penuh kepada bekas Menteri Besar itu atau dikenali sebagai Tok Mat sehingga beliau berjaya mengekalkan kerusi di situ.

“Pas tidak akan bertanding di Rantau sebaliknya membantu Tok Mat atas dasar perpaduan ummah dan Melayu.

"Kita yakin Tok Mat dapat mengekalkan kerusi di Rantau nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan berhubung penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Tambahnya, menjelang PRK Rantau nanti, pihaknya akan menggerakkan semua jentera melalui Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat bagi membantu memenangkan BN.

Katanya, pendirian yang diambil Pas negeri adalah selari dengan pimpinan pusat, persiapan untuk membantu BN sepertimana yang dilakukan pada PRK sebelum ini, akan sama dilakukan di PRK Rantau.

Rafiei berkata, pihaknya kini bergerak ke arah kerjasama baik antara Pas dan Umno negeri, sebagai persiapan PRU15, yang kini telah pun direstui pucuk pimpinan.

Artikel Berkaitan:

“Di Negeri Sembilan, dua program bersama sudah dianjurkan iaitu ceramah perdana di Felda Lui Barat, Jempol bulan lalu dan jamuan makan malam Pas Seremban yang turut dihadiri pimpinan Umno negeri ini kelmarin,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai PRK Semenyih, Rafiei berkata, Pas negeri ini melalui Dewan Muslimatnya turut memberi bantuan sokongan dan membantu calon BN semasa berkempen bagi memastikan matlamat untuk menumbangkan PH tercapai.