PM interim: Ismail Sabri tegaskan hanya khabar angin

Ismail Sabri (kiri) sedang mendengar aduan penduduk ketika lawatan kerja di Parlimen Bera pada Ahad.
Ismail Sabri (kiri) sedang mendengar aduan penduduk ketika lawatan kerja di Parlimen Bera pada Ahad.
A
A
A

BERA - ''Anggap hanya itu khabar angin semata-mata.''

Demikian reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas namanya disebut-sebut sebagai Perdana Menteri interim (sementara) menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Itu hanya khabar angin lagi pun saya difahamkan dalam Perlembagaan Persekutuan tiada istilah interim, PM interim, kerajaan interim, tidak ada dalam perlembagaan.

"Jadi itu normal, anggap itu hanya khabar angin dan saya pun ketahui ini yang saya baca menerusi portal media dan media sosial," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada Ahad.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bakul makanan kepada penduduk di Masjid Kampung Charuk Puting di sini sempena lawatan kerja ke Parlimen Bera.

Dalam laporan portal Free Malaysia Today (FMT) pada Sabtu melaporkan Ismail Sabri dikatakan mempunyai sokongan kuat, termasuk dalam kalangan ahli kabinet untuk dilantik sebagai Perdana Menteri interim dan rundingan mengenai perkara itu sedang berjalan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas isu interim tersebut itu lagi, beliau tidak menolak kemungkinan ia sengaja untuk melaga-lagakan dan memecahbelahkan kerajaan sedia ada.

"Jadi jangan layan kerana dilayan semakin teruk dan tidak perlu perlu ikut apa yang digembar-gemburkan sebaliknya tindakan paling baik, damaikan dan menyejukkan keadaan bukan melagakan kerana ia bukan masa sesuai untuk berpecah.

Artikel Berkaitan:

"Mari kita bersatu kerana tanggungjawab kita lebih besar kerana rakyat tengah susah, selesaikan isu rakyat dan paling penting, Covid-19 mesti diselesaikan," tegasnya lagi.