X

Kindly register in order to view this article
!

Polis rakam keterangan penganjur durian percuma

Gambar tular memperlihatkan kehadiran orang ramai berdiri dan beratur tanpa penjarakan sosial dipercayai untuk mengambil durian yang diedarkan secara percuma di bawah jejambat Jalan Temenggong ke Jalan Sekolah, pada Jumaat.
A
A

BAGAN SERA - Seorang lelaki yang mengedarkan buah durian secara percuma dua hari lalu (Jumaat) di Jalan Temenggong, Parit Buntar telah dipanggil memberikan kenyataan bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, lelaki berumur 39 tahun itu telah memberi keterangan di Balai Polis Parit Buntar pada Sabtu selain mengakui bertanggungjawab kerana tidak dapat mengawal orang ramai yang hadir pada hari kejadian.

“Kertas siasatan sudah siap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kami tunggu keputusan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.

Pada Jumaat tular di media sosial gambar dan video orang ramai yang berpusu-pusu beratur tanpa mematuhi penjarakan fizikal ketika mahu mendapatkan buah durian yang diedarkan secara percuma oleh sebuah syarikat di bawah jejambat Jalan Temenggong, Parit Buntar.

Difahamkan penganjur telah menyediakan empat tan durian percuma dari Batu Kurau untuk diedarkan kepada orang ramai pada hari berkenaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!