Skuad Gerak Khas MAINS bantu anak istimewa

Amirul (dua dari kanan) semasa menyampaikan sumbangan kepada keluarga ini.
Amirul (dua dari kanan) semasa menyampaikan sumbangan kepada keluarga ini.
A
A
A

REMBAU - Nasib sebuah keluarga mempunyai dua anak yang menghidap penyakit genetik yang dikenali sebagai MCT8-Specific Thyroid Hormone Cell Transporter Deficiency (kekurangan MCT8-THCT) mendapat perhatian Skuad Gerak Khas (SGK) Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang membantu keluarga ini pada Sabtu.

Difahamkan, seramai lapan orang di Malaysia menghidapi penyakit berkaitan genetik yang mengakibatkan kerencatan fungsi otak, gangguan pertuturan dan lemah otot sekali gus menyukarkan penghidapnya bergerak termasuk dua anak istimewa ini.

Menurut Pegawai Agihan Rembau, Amirul Aizudin Ali, sebelum ini dua kanak-kanak istimewa, Muhammad Arsyad Riffat Mohd Arif, 6, dan adiknya, Adam Yusuf yang berusia setahun 5 bulan, telah dibantu secara bulanan sejak dua tahun lalu.

MAINS sebelum ini, telah membantu dari segi keperluan harian seperti susu jenis Pediasure, lampin pakai buang dan susu rumusan khas Novalac AR, secara bulanan.

"Namun disebabkan kedua-dua anak ini semakin membesar, bantuan susu akan ditambah.

"Berdasarkan keperluan semasa, susu jenama Pediasure yang disediakan adalah sebanyak lapan tin sebulan, akan ditambah kepada 15 tin bermula bulan ini, selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, dalam ziarah tersebut MAINS turut menyerahkan bantuan wang tunai segera dan barangan keperluan dapur bagi meringankan beban ditanggung mereka.

Bantuan telah disempurnakan bersama pegawai-pegawai SGK MAINS, Mohd Zahid Mohammad dan Amir Syukri Abdul Jalil.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut ibu kepada kanak-kanak, Noorakmar Mahmood, 40, penyakit yang dihidapi anaknya berpunca daripada gen yang diwarisi keluarga.

"Penyakit ini akan menyebabkan kecacatan pada otak, pertuturan dan lemah keupayaan otot.

"Namun saya bersyukur dengan anugerah Tuhan kerana mereka anak syurga buat kami, ini adalah amanah yang perlu dijaga dengan baik sehingga ke hujung nyawa," katanya.