X

Kindly register in order to view this article
!

Kenyataan mengenai 40 MP BN sokong Muhyiddin adalah sah

Ismail Sabri(kanan) ketika menyampaikan bantuan bakul makanan kepada wakil penduduk pada Ahad.
A
A

BERA - [DIKEMAS KINI] Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu iaitu seramai 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sah.

Beliau mengesahkan perkara tersebut ketika ditanya pemberita dalam lawatan kerjanya di Parlimen Bera pada Ahad.

Menurutnya, seramai 40 ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN selepas beliau mempengerusikan perjumpaan bersama mereka pada hari terbabit.

"Berita itu sah, memang 40 ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

"Cuma persoalan yang dibangkitkan pada hari berkenaan mengapa kami dalam kalangan ahli Parlimen BN menggunakan kepala surat BN," katanya lagi.

Ujarnya, selaku ahli BN, kepala surat BN digunakan kerana mereka adalah ahli Parlimen yang mewakili BN.

Khamis lalu, ibu pejabat BN menafikan kewujudan satu surat yang menggunakan logo dan alamat parti itu dan Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Shafri Ab. Aziz memaklumkan, sebarang kenyataan hanya dikeluarkan melalui melalui Pengerusi atau Setiausaha Agung parti.

Sebelum ini, tular satu kenyataan menggunakan logo BN yang didakwa memetik kenyataan Ismail Sabri iaitu semua ahli Parlimen BN sebulat suara menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tidak timbul soal menarik sokongan kerana dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti membenarkan ahli Parlimen menggunakan budi bicara sendiri untuk menentukan sokongan masing-masing.

"Soal tarik sokongan tidak timbul, ahli Parlimen (BN) berpandangan kalau kita dibenarkan memberi sokongan kepada kerajaan (PN), kita tidak boleh ambil tindakan meruntuhkan kerajaan dengan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri adakan perjumpaan bersama 40 ahli Parlimen BN


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!