X

Kindly register in order to view this article
!

Kejayaan Aaron-Wooi Yik tepat pada waktunya: Norza

Aksi regu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang regu lelaki dari Indonesia Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza. - Foto Bernama
A
A

KEJAYAAN pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul gangsa, pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo malam tadi, tepat pada waktunya tatkala negara sedang menghadapi tempoh mencabar bertarung dengan pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pencapaian cemerlang dilakar pasangan muda negara dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di Musashino Forest Sport Plaza di sini itu sudah semestinya, disambut dengan penuh kegembiraan oleh rakyat Malaysia ketika ini.

"Kita selalu tanya bila Aaron-Wooi Yik nak menampilkan aksi terbaik (dalam Sukan Olimpik) dan mereka terbukti berjaya melakukanya ketika kita semua mengharapkan kemenangan.

“Saya nak ucap tahniah kepada mereka kerana pada usia muda, mereka mampu bawa kegembiraan kepada kita semua dan terima kasih kepada rakyat Malaysia khususnya peminat badminton yang mendoakan kejayaan kita," katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi kepada media.

Aaron-Wooi Yik bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk merangkul gangsa selepas menewaskan pasangan Indonesia yang juga pilihan kedua, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan mendebarkan yang berlangsung hampir sejam pada Sabtu.

Mohamad Norza berkata, langkah membawa masuk Flandy Limpele sebagai ketua jurulatih baharu ketika penstrukturan barisan kejurulatihan pada Mei 2020 membuahkan hasil sehingga Aaron-Wooi Yik bukan sahaja meraih gangsa, malah berjaya menewaskan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo juga dari Indonesia, 21-14, 21-17 dalam aksi suku akhir, Khamis lalu.

Sehubungan itu, Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia memaklumkan BAM akan melalukan 'post-mortem’ berhubung pencapaian pemain badminton di Jepun termasuk impak barisan kejurulatihan selepas ini.

Pada masa sama, beliau berharap agar rakyat Malaysia terus menyokong dan bersabar dengan perancangan BAM dalam melahirkan pemain yang berwibawa dan berpotensi dalam membawa cabaran negara di peringkat tertinggi pada masa depan termasuk Piala Thomas, Piala Uber serta edisi Olimpik seterusnya iaitu Paris 2024.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menggesa agar rakyat Malaysia terus mendoakan kejayaan atlet Malaysia di Sukan Olimpik dan merealisasikan sasaran untuk membawa pulang tiga pingat.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat Malaysia perlu berada di belakang atlet pada setiap masa tidak kira sama ada ketika mereka menikmati kejayaan ataupun pada saat mereka tersungkur dalam perjuangan membawa nama Malaysia di pentas dunia.

"Jangan berhenti dan sokonglah serta iringi mereka dengan doa sehingga ke detik terakhir. Jika mereka (atlet) tak capai sasaran jangan dikecam, bila kita kecewa mereka lebih kecewa, bila menang kita julang. Saya minta rakyat Malaysia agar tidak memisahkan sokongan diberikan kepada atlet kita," tambahnya. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!