Tangguh sidang Parlimen atas arahan KP Kesihatan: TPM

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

BERA - [DIKEMAS KINI] Penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dibuat atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di Parlimen sejak Isnin lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga petang Khamis, lebih 70 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan dilakukan.

Menurut beliau, jumlah tersebut membabitkan ahli Parlimen dan pengiring mereka yang juga kontak rapat.

"Kalau di tempat lain, jika jumlah kes positif dikesan melebihi 40, kita sudah arahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Jadi inilah yang orang marah, seolah-olah kami ini 'kayangan' ada imuniti dan kekebalan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja di Parlimen Bera pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, sebelum persidangan bermula pada Isnin lalu, mesyuarat dihadiri Speaker dan wakil pembangkang termasuk beliau diadakan pada pagi hari tersebut.

Tambah beliau, ketika mesyuarat tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan sudah memberikan beberapa cadangan iaitu menangguhkan persidangan dan mengurangkan masa perbahasan iaitu sehingga jam 2 petang serta mengurangkan kehadiran ahli Parlimen.

"Namun, cadangan itu tidak diendahkan dan persidangan diteruskan yang akhirnya jumlah kes bertambah dikesan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas empat hari bersidang, terdapat dua kes positif lagi dikesan jadi ujian saringan Covid-19 dilakukan pada petang Khamis dan ada lagi penambahan kes di Parlimen," ujarnya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan persidangan bagi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini ditangguhkan