Enrique kecewa sikap kedekut Liverpool

Enrique
Enrique
A
A
A

BEKAS pertahanan Liverpool, Jose Enrique mempersoalkan tindakan The Reds yang tidak aktif membeli pemain untuk memperkuatkan pasukan itu bagi saingan musim depan.

Menurutnya, sikap kedekut pengurusan Liverpool itu akan memberikan masalah besar kepada pasukan apatah lagi beberapa kelab besar seperti Manchester United telah melakukan pembelian pemain yang berkualiti.

"Saya risau dengan keadaan Liverpool yang kurang berbelanja pada jendela perpindahan kali ini. Masalah dengan pengurusan adalah mereka perlu menjual sebelum boleh membeli pemain lain.

"Satu-satunya sebab Liverpool mempunyai pemain seperti Alisson dan Virgil van Dijk adalah kerana pasukan telah menjual Philippe Coutinho. Jika tidak jual Coutinho, saya rasa pasukan tidak akan dapat beli kedua-dua pemain itu yang membantu pasukan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pada tahun lalu," katanya.

Liverpool hanya mendapatkan pemain pertahanan, Ibrahim Konate daripada RB Leipzig pada jendela perpindahan kali ini selain turut kehilangan pemain tengah Georginio Wijnaldum yang memutuskan untuk berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG).

Berbeza dengan beberapa pasukan lain seperti United yang sudah merekrut dua pemain berkualiti iaitu Raphael Varane dari Real Madrid dan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund untuk memperkukuhkan pasukan sekali gus bersaing untuk merebut trofi EPL musim depan.

"Saya percaya membeli Konate adalah sesuatu yang hebat. Tetapi, ia belum cukup dan anda harus mengeluarkan banyak dana untuk mendapatkan pemain berkualiti.

"Sebelum Alisson dan Van Dijk tiba, kami adalah sekadar pencabar untuk menang EPL. Tetapi, setelah mereka datang, Liverpool berjaya memenangi kejuaraan itu dan ia bukti Liverpool memerlukan pemain hebat seperti mereka berdua," kata Enrique.

Artikel Berkaitan: