Hampir 82,000 peranti diedar dibawah inisiatif Cerdik

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Hampir 82,000 peranti telah diserahkan kepada pelajar dari 618 buah sekolah di seluruh negara setakat 25 Julai, di bawah inisiatif Cerdik.

Pada masa sama, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara sedang memproses hampir 5,000 peranti yang akan diedarkan dalam masa terdekat.

Cerdik merupakan inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan normal baharu pembelajaran secara dalam talian, e-pembelajaran serta bentuk lain pengajaran jarak jauh.

Program perintis Cerdik adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang dalam menyediakan akses digital untuk pendidikan dan merangkumi dua komponen utama akses kepada peranti dan ketersambungan data.

Status agihan peranti di bawah inisiatif Cerdik sentiasa dikemas kini dan boleh disemak di laman inisiatif Cerdik iaitu https://www.cerdik.org/ms/deployment-tracker/.

Walaupun terdapat persekitaran bekalan yang mencabar dan pergerakan terhad di bawah pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekretariat Cerdik iaitu Yayasan Hasanah serta penderma korporat yang terdiri daripada 28 GLC/GLIC, komited untuk memenuhi penghantaran semua 150,000 peranti secara berperingkat ke PPD pada akhir September 2021.

Koordinasi Cerdik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia memastikan peranti disalurkan kepada penerima yang layak.

Jawatankuasa teknikal juga akan memberi nasihat mengenai spesifikasi minimum yang diperlukan untuk memastikan setiap peranti mampu digunakan pelajar sekurang-kurangnya selama tiga tahun di sekolah.

Artikel Berkaitan:

Peranti ini juga dilengkapi dengan perlindungan digital dan dilengkapi dengan sokongan teknikal dan sambungan internet.

Syarikat lain digesa untuk menyokong inisiatif Cerdik bagi memastikan kejayaan berterusan inisiatif ini di seluruh negara.

Bagi yang berminat boleh menghubungi sekretariat Yayasan Hasanah di cerdik@hasanah.org.my - Bernama