Rumah mampu milik pertama Hunza dijangka siap menjelang 2022

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

PROJEK perumahan mampu milik pertama Hunza Properties Bhd -- ‘TreeO’ di Sungai Ara dekat sini, dijangka siap menjelang tahun depan.

Pengasas Hunza Properties, Datuk Seri Khor Teng Tong berkata, usaha menyiapkan pembinaan projek di kawasan seluas 3.92 hektar yang bermula sejak 2018 itu sedang giat dilaksanakan, namun mengambil sedikit masa berikutan faktor pandemik Covid-19 serta pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kemajuan pembinaan itu telah berjalan selama ini kecuali ketika fasa-fasa awal PKP 1.0 dan PKP Penuh. Keadaan agak perlahan akibat keperluan pematuhan terhadap peraturan lebih ketat yang dilaksanakan sepanjang tempoh pelbagai fasa PKP itu,” katanya.

Khor berkata, TreeO menampilkan projek rumah mampu milik tiga menara yang merangkumi 1,240 unit yang berkeluasan 83.61 meter persegi seunit dengan balkoni individu, tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Menurutnya, 50 peratus daripada kawasan projek tersebut telah diperuntukkan kepada ruang hijau atau tumbuhan bagi memberi pengalaman kehidupan lebih segar untuk para penghuninya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap usaha membendung penularan pandemik Covid-19 akan membuahkan hasil dan membantu mengelak kelewatan projek perumahan mampu milik selain projek-projek lain seperti Pusat Komersial Antarabangsa Pulau Pinang (PICC).

Selain itu, pada 28 Julai lalu, Hunza Properties dan Persatuan Perusahaan Perniagaan Premium Pulau Pinang (PPBEA) telah bekerjasama menganjurkan projek tabung makanan untuk golongan memerlukan di negeri itu.

Khor yang juga presiden PPBEA berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat kedua-dua pihak bagi membantu golongan berkenaan ketika tempoh-tempoh mencabar seperti sekarang.

Artikel Berkaitan:

“Program selama sebulan itu akan diadakan di Gurney Paragon Mall dan galeri jualan PICC di Bayan Lepas pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat,” katanya.

Menurutnya, program itu dijadualkan sehingga 20 Ogos depan namun boleh dipertimbang untuk dilanjutkan sekiranya perlu. - Bernama