Guru terima APC secara pandu lalu

Mohd Razali (kiri) menyampaikan APC 2020 kepada salah seorang guru cemerlang secara padu lalu diperkarangan pejabat PPD Pekan. - Foto ihsan PPD Pekan
Mohd Razali (kiri) menyampaikan APC 2020 kepada salah seorang guru cemerlang secara padu lalu diperkarangan pejabat PPD Pekan. - Foto ihsan PPD Pekan
A
A
A

KUANTAN - Seramai 209 guru membabitkan 62 sekolah dalam daerah Pekan telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 yang diserahkan secara pandu lalu.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, penyerahan itu dilakukan bagi menghargai mereka yang memberi khidmat cemerlang dalam perkhidmatan.

Menurutnya, walaupun acara terbabit tidak semeriah dulu, namun sekurang-kurangnya ia tetap memberi kenangan manis buat penerima.

"Kita amat menghargai kecemerlangan mereka (guru) yang sentiasa komited dengan tugas mendidik dan memastikan kecemerlangan para pelajar.

“Sebenarnya, kita memang merancang untuk mengadakan majlis APC secara fizikal namun selepas dua kali tertangguh saya terpaksa mengambil keputusan mengadakannya secara pandu lalu,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Sabtu, seramai 209 guru dalam daerah Pekan telah menerima APC 2020 dan majlis dijalankan secara pandu lalu di pekarangan Pejabat PPD Pekan bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 1.30 tengah hari.

Majlis itu disampaikan Mohd Razali diikuti Timbalan Perancangan, Zaifol Bahrizan Mohammad Zan, Timbalan Pembelajaran, Ahmad Salleh Mohamed, dan Timbalan Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Kamarul Zaman Mohd Ali.

Mohd Razali berkata, program diadakan itu akan menjadi kenangan manis buat guru apabila menerima sijil secara pandu lalu.

Artikel Berkaitan:

“Saya hanya tunggu guru datang dengan kenderaan kemudian saya sampaikan sijil APC, cepat serta ringkas tetapi begitu bermakna buat 209 penerima,” katanya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, Zahamana Zainuddin, 55, berkata, beliau gembira apabila terpilih menerima APC 2020.

Jelasnya, anugerah itu akan menambahkan lagi semangatnya untuk terus mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.

“Dalam keadaan sekarang saya reda penyampaian sijil APC dilakukan dengan cara pandu lalu,” katanya.