Maritim Malaysia kesan nelayan dikhuatiri hilang

Kepten Maritim Shahrizan Raman
Kepten Maritim Shahrizan Raman
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dilaporkan hilang kira-kira 24.4 batu nautika barat daya Pulau Buloh di sini pada Jumaat.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mangsa dipercayai warga Thailand merupakan kru bot nelayan tempatan telah keluar ke laut pada Khamis lalu.

Menurutnya, operasi berkenaan diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi selepas menerima aduan pada jam 6.40 petang.

"Dia membawa sebuah bot peranti dan dikatakan telah terputus hubungan dengan bot induk serta tidak dapat dikesan sejak itu.

"Maklumat kejadian ini diterima daripada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (PUSOP) dan Kapal Maritim Gagah yang sedang melaksanakan rondaan rutin diatur gerak ke lokasi kejadian yang dilaporkan namun tidak menemui sebarang petunjuk," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Shahrizan berkata, Maritim Malaysia akan menyalurkan maklumat dari masa ke masa di dalam usaha CARILAMAT ini selain penglibatan aset-aset pasukan sahabat yang lain.

Orang awam diminta untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri di talian 05-6838737.

Artikel Berkaitan: