Tidak patuh SOP ketika beraya punca Covid-19 meningkat di Terengganu

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sambutan Hari Raya Aidiladha yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan menjadi salah satu punca kepada peningkatan kes Covid-19 di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terdapat segelintir pihak dalam masyarakat yang mengadakan keraian dan majlis secara sembunyi ketika sambutan hari raya korban baru-baru ini.

“Ia termasuklah terdapat aktiviti rentas negeri dan daerah semasa sambutan raya walaupun ia tidak dibenarkan,” katanya mengulas perkembangan terkini Covid-19 di Terengganu yang disiarkan di Facebook rasminya Sabtu malam.

Selain itu beliau berkata, kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring turut mencetuskan kluster di antara mereka selain peningkatan kes-kes bergejala disebabkan penularan cepat dalam komuniti.

Katanya, penambahan kes Covid-19 negeri ini juga disebabkan peningkatan saringan kontak rapat dan bersasar yang dilakukan di beberapa lokaliti di seluruh daerah di Terengganu.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri menjelaskan, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan pelbagai agensi lain sedang berusaha menangani jangkitan Covid-19 termasuk aktiviti kawalan dengan meningkatkan saringan kontak rapat dan saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenal pasti.

“Susulan dari aktiviti pengesanan ini, kita menjangkakan peningkatan kes dalam masa dua minggu akan datang.

“Kerajaan negeri juga mahu proses vaksinasi di tempat kritikal dan kawasan yang mencatat bilangan kes tinggi dipercepat serta dipertingkatkan. Bagi tujuan itu kita akan mohon penambahan vaksin terutama untuk daerah Kemaman dan Dungun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negeri ini kekal bertenang, tidak panik dan sentiasa mematuhi SOP dengan mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Sekiranya tiada urusan mustahak, terus kekal berada di rumah tapi jika ada urusan penting pastikan sentiasa amalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi,” katanya.

Pada Sabtu, Terengganu merekodkan sebanyak 883 kes positif Covid-19 baharu dengan tiga kematian iaitu tertinggi sejak pandemik melanda negeri ini. Angka itu menjadikan terdapat 3,140 kes aktif di negeri ini.