Kelantan United tidak bertahan di Larkin

Pemain-pemain Kelantan United giat menjalani latihan sebagai persediaan menentang JDT II di Larkin. - Foto Kelantan United Football Club
Pemain-pemain Kelantan United giat menjalani latihan sebagai persediaan menentang JDT II di Larkin. - Foto Kelantan United Football Club
A
A
A

KELANTAN United tidak berhasrat menggunakan taktikal bertahan sebaliknya akan bermain seperti biasa apabila turun bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada saingan Liga Premier di Stadium Larkin, malam tadi.

Ketua Jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor berkata pasukan itu akan memberi tumpuan penuh kepada permainan meskipun mengakui JDT II mempunyai teknikal bagus terutamanya serangan yang berkualiti bagi menjaringkan gol.

"Saya lihat pemain mempunyai semangat tinggi selepas menang besar ke atas Perak II pada Rabu lalu dan semangat ini menjadi motivasi kepada kami untuk mencipta peluang sekali gus membawa pulang mata.

"Pemain cukup sedia memberi cabaran kepada pasukan tuan rumah (JDT II) yang merupakan pasukan cukup digeruni ketika ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) kerana dibarisi pemain berkualiti, baik tempatan mahupun import,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Nazrulerwan menjangkakan perlawanan malam ini mungkin memberi kelebihan kepada kelab dari Selatan itu berikutan JDT II mempunyai tempoh rehat yang panjang apabila tidak beraksi dalam perlawanan lepas berbanding Kelantan United yang menempuhi ‘perjalanan’ panjang pada minggu ini.

Malah, beliau berkata pasukannya turut kehilangan dua pemain utama, Gassama Alfusainey dan Muhammad Asraff Alifuddin Yasin, kerana penggantungan perlawanan setelah mengutip kad merah pada aksi dengan Perak II.

"Kami bernasib baik sebab para pemain bebas daripada kecederaan dan boleh bermain sepenuhnya menentang JDT II. Saya percaya semua pemain yang ada akan menggalas tugas diberikan dengan baik dan berkemampuan beraksi dengan cemerlang seterusnya membantu kami mencatatkan keputusan positif di Larkin,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: