Harimau Selatan baham Bos Gaurus

Bergson Da Silva tampil meledak hatrik ketika membantu Harimau Selatan menewaskan Perak FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. - Foto Johor Southern Tigers
Bergson Da Silva tampil meledak hatrik ketika membantu Harimau Selatan menewaskan Perak FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan momentum kemenangan dalam pemburuan kejuaraan musim kelapan liga apabila membelasah Perak FC 5-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Kemenangan ke-12 liga itu sekali gus memperkukuhkan cengkaman skuad kendalian Benjamin Mora tersebut di tangga teratas liga dengan 39 mata selepas mengharungi 16 perlawanan yang berbaki enam aksi lagi.

Pada aksi itu Bergson Da Silva tampil meledakkan hatrik dengan gol pada minit ke-20, 47 dan 59 manakala Gonzalo Cabrera tidak ketinggalan mencetak dua gol pada minit ke-83 dan 86 untuk kemenangan bergaya Harimau Selatan ke atas The Bos Gaurus kendalian Chong Yee Fatt tersebut.

Di GEORGETOWN pula, Selangor FC mencipta kejutan apabila menjinakkan Penang FC 4-1 dalam aksi di Stadium Bandaraya sekali gus mengakhiri kemarau dalam empat perlawanan terakhir sebelum ini.

Anak buah Karsten Neitzel mencetak kemenangan keenam liga selepas mengharungi 16 perlawanan hasil jaringan Ifedayo Olusegun pada minit ke-15, (95'), Danial Asri (49') dan Sean Selvaraj (57').

Sementara gol skuad Black Panthers kendalian Tomáš Trucha dijaringkan hasil tandukan oleh David Rowley pada minit ke-40 untuk gol saguhati tuan rumah.

Tiga mata itu membolehkan The Red Giants berada pada kedudukan kelima liga dengan 23 mata selepas mengharungi 16 perlawanan manakala Penang FC pula kekal di tangga keempat dengan 25 mata kurang satu perlawanan berbanding pelawat.

Aksi di CHERAS pula, KL City FC terus buntu mengakhiri kemarau dalam empat perlawanan terakhir apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan Melaka United FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Skuad kendalian Bojan Hodak terlebih dulu berada di depan hasil jaringan Zhafri Yahya pada minit ke-53 sebelum jaringan Jang Suk Won pada minit ke-98 memastikan anak buah Zainal Abidin Hassan membawa pulang satu mata.

Keputusan seri itu menyaksikan KL City FC berada di kedudukan keenam liga dengan 20 mata manakala Melaka United pula di tangga kesembilan selepas masing-masing mengharungi 16 perlawanan.